UTHM meterai perjanjian, lebarkan jaringan kerjasama dengan industri

MELAKA – Bagi melebarkan jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama MIMOS...
IMG_7370

MELAKA – Bagi melebarkan jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama MIMOS Semiconductor (M) Sdn. Bhd, Significant Technologies Sdn. Bhd (SigTech), Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Institut Teknologi Sepuluh Nopember dalam satu majlis yang diadakan pada 14 Ogos lalu bertempat di Hotel Novotel, Melaka.

Sesi memeterai perjanjian tersebut diadakan semasa berlangsungnya persidangan kelima International Conference on the Application of Science and Mathematics 2019  (SCIEMATHIC2019) anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST).

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly hadir menyempurnakan majlis perasmian SCIEMATHIC2019 dan sesi menandatangani MoA yang berlangsung pada hari yang sama. Hadir sama menandatangani perjanjian tersebut Rektor ITS, Profesor Dr. Ir. Mochamad Ashari; Profesor Dr. Edy Tri Baskoro yang mewakili ITB, Pengurus Besar MIMOS Semiconductor (M) Sdn. Bhd., Wan Azli Wan Ismail dan Pengarah Eksekutif Significant Technology, Najman Kamaruddin. Sesi menandatangani MoA tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman dan Dekan FAST, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa.

Menurut Dr. Wahid, kerjasama antara dua industri tersebut mampu memberi peluang kepada universiti ini untuk melahirkan penyelidik-penyelidik baharu yang akan meneroka bidang sains, teknologi dan matematik bagi menghasilkan idea-idea baru dan juga menyelesaikan masalah kesan dari teknologi terkini.

Tambahnya lagi, UTHM juga berbesar hati dan merasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan dua institusi luar negara yang tersohor dalam bidang sains, teknologi dan matematik.

“Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat memberi dorongan tambahan kepada semua yang terlibat untuk bekerjasama dengan lebih efektif demi mencapai manfaat bersama selain mampu meningkatkan aktiviti pengantarabangsaan dalam bidang akademik mahupun penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, persidangan kali ini turut menyaksikan tiga sesi ucaptama yang dijayakan oleh Dr. Sri Fatmawati dari ITS, Profesor Dr. Edy Tri Baskoro dari ITB dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman. Turut diadakan pembentangan kertas kerja berkaitan penyelidikan sains dan matematik yang melibatkan enam sidang.

Seramai 150 peserta dari pelbagai negara telah menghadiri persidangan kali ini untuk membincangkan isu sains dan matematik berdasarkan tema “Synergy Through Diversity in Science and Mathematics.”

Categories
MoU, MoA dan LoIPersidangan

RELATED ARTICLE