Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menggondol dua pingat Emas dan satu Perak dalam Pertandingan Intervensi Amalan Bilik Darjah Peringkat Kebangsaan 2019 yang diadakan pada 21-22 Ogos 2019 bertempat di Institut Pendidikan Guru Cawangan Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka.

Pertandingan ini telah disertai oleh 187 peserta dari semua peringkat institusi seluruh negara termasuk sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional, kolej komuniti, politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan universiti. Sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan iaitu kategori Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran, Pembangunan Hartanah Berkonsepkan Bandar Baru Lestari dan Pembinaan Kereta Solar.

Pingat Emas diperolehi melalui Puan Anim Zalina Azizan selaku Ketua Penyelidik dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) dengan hasil inovasinya bertajuk SlideBiz© iaitu sebuah inovasi penerapan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar sepanjang menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah. Projek SlideBiz© ini adalah hasil gabungan penyelidik daripada tiga fakulti termasuk Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

Satu lagi pingat Emas diperolehi melalui Dr. Suhaila Sari selaku Ketua Penyelidik bersama dua rakannya dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan FTK dengan inovasi mereka bertajuk Smart Interactive Image Processing Learning Tool iaitu satu alat bahan bantu mengajar (ABBM) khusus dalam pemprosesan imej.

Sementara itu pingat Perak pula telah dimenangi oleh Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz selaku Ketua Penyelidik bersama tiga rakannya dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dengan hasil inovasi mereka bertajuk Karya Philo-Sofea iaitu satu kaedah yang unik dalam mengadaptasikan karya sejarah atau cerita-cerita dongeng di dalam pemahaman pendidikan falsafah.

Majlis perasmian penutup yang berlangsung pada 22 Ogos telah disempurnakan oleh Dr. Norshidah Abu Husin, Pemangku Pengarah, IPG Cawangan Perempuan Melayu.

Menurut beliau pertandingan ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan yang mana jumlah peserta program melebihi daripada sasaran.

“Pertandingan seperti ini mungkin akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memberi ruang dan peluang kepada peserta dan penyelidik dari semua peringkat institusi pendidikan dalam negara untuk mempertingkat dan menyebarluaskan idea-idea inovasi untuk pendidikan abad ke-21,” katanya.