Sebagai tanda sokongan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama STMicroelectronics Sdn. Bhd. (STM) bersetuju untuk mengadakan program kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan yang melibatkan mikropemproses dan aplikasi Internet of Things (IoT).

Bagi merealisasikan kolaborasi ini, satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) telah diadakan pada 29 Julai lalu bertempat di Aras 5, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk. UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly manakala STM pula diwakili oleh Pengurus Besarnya, Tan Chun Sheng.

Hadir sama ke majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Madya Dr. Rosli Omar dan Timbalan Pengurus Besar STM, Yoong Wee Shern.

Antara intipati penting dalam MoU ini adalah STM akan menyumbangkan mesin pengikatan dawai kepada UTHM untuk tujuan latihan akademik dan juga penyelidikan berimpak tinggi. Manakala tenaga akademik, penyelidik dan pelajar UTHM pula akan diberi peluang untuk menjalankan latihan sangkutan industri di kilang STMicroelectronics, Tanjong Agas, Muar.

Dalam majlis tersebut Wahid dalam ucapannya menyatakan pihak universiti amat menghargai dan menyokong penuh kolaborasi ini kerana ianya mampu membuka peluang kepada para penyelidik UTHM untuk menyumbangkan idea dan tenaga dalam pembangunan sistem aplikasi pintar.

“Melalui kerjasama strategik ini, proses pemindahan teknologi terkini dari industri ke universiti dapat dijalankan secara langsung,” katanya.

Menurut beliau lagi, bukan sahaja warga kampus mendapat manfaat hasil kerjasama ini malah masyarakat setempat terutamanya sekolah-sekolah berdekatan juga akan mendapat tempiasnya melalui penganjuran aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) yang akan dilakukan bersama kelak.

Selain itu, kolaborasi ini juga bertujuan merancakkan lagi program STEM di peringkat sekolah sekitar daerah Batu Pahat dan Muar.

Pendedahan teknologi terkini hasil daripada penyelidikan IoT boleh menjadi pendorong kepada pelajar sekolah untuk mendalami bidang STEM yang amat diperlukan negara.

Sementara itu Tan pula dalam ucapannya turut melahirkan rasa terima kasih atas kesudian UTHM yang mahu bekerjasama dengan syarikatnya bagi membangunkan lebih banyak produk inovasi yang boleh diterima pakai dan dikomersialkan di pasaran global.

Menurut beliau, kolaborasi ini juga akan memberi faedah kepada STM yang mana penyelidik dan pelajar dapat terlibat sama dalam penyelidikan yang dilakukan.

“Dengan ini, STM tidak akan kekurangan tenaga kerja mahir untuk menyiapkan projek yang diminta oleh pelangan.”

“Kemahiran jurutera STM juga boleh terus dipertingkatkan sesuai dengan permintaan semasa melalui kursus jangka pendek yang boleh diberikan oleh tenaga akademik UTHM,” tambah beliau.