BUKIT MERAH – Pasukan Mendayung Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang lebih dikenali dengan nama UTHM Barracuda menampilkan kelas tersendiri apabila berjaya merangkul Johan Keseluruhan bagi acara Mendayung Lelaki dan Perempuan di Karnival Sukan Air MASUM (Rowing dan Kayak) 2019.

Pasukan ini berjaya membawa membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa di karnival yang berlangsung pada 20 hingga 25 Ogos lalu bertempat di Bukit Merah Laketown Resort.

Pertandingan tersebut turut mendapat penyertaan daripada 10 universiti awam yang lain sekali gus menjadikan perlawanan antara pasukan bertambah sengit. Empat pingat emas berjaya dipungut melalui acara Men & Women Coxed Eight (8+) dan Men & Women Coxless Four ( 4-)  manakala kutipan pingat perak dan gangsa pula melalui acara Women Single Scull (1x) dan Men Double Scull (2x).

Menurut penyelaras sukan air UTHM, Shaid Jaffar anugerah Juara Keseluruhan ini merupakan kali ke tujuh berjaya diraih oleh pasukan ini di Karnival Sukan Air MASUM (Rowing & Kayak) sejak 2009.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan komitmen daripada para atlet yang sanggup mengorbankan cuti semester untuk hadir ke latihan yang diadakan selama hampir sebulan,” ujar beliau.

“Selain itu, tiga alumni UTHM yang juga bekas atlet Pasukan Mendayung UTHM Barracuda serta pihak pengurusan sukan dan pengurusan tertinggi UTHM turut komited membantu pasukan ini dalam merangka serta menyusun program pembangunan dan prestasi pasukan,” jelasnya lagi.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad juga menzahirkan rasa gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh alumni UTHM terhadap Pasukan Mendayung UTHM Barracuda dalam mempamerkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di pentas Karnival Sukan Air MASUM (Rowing dan Kayak).

Beliau berharap selepas ini lebih ramai lagi penuntut universiti ini mampu mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang sukan selain turut mengalu-alukan penglibatan alumni UTHM dalam membantu mempertingkatkan lagi prestasi sukan universiti pada masa akan datang.