EHIME, JEPUN – Pusat Pengajian Bahasa (PBB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Global Education and Human Exchange Association (GLEEA) telah bekerjasama menganjurkan program “International Exchange Summer Camp for Japanese Secondary School Students 2019” bertempat di Ozu National Youth House, Ehime, Jepun pada 16 hingga 18 Ogos lalu.

Sebanyak 34 orang pelajar sekolah rendah dari sekitar kepulauan Shikoku didedahkan dengan kebudayaan Malaysia melalui penganjuran aktiviti seperti Batik Painting dan Anyaman.

Menurut Dekan PBB, Dr. Zailin Shah Yusoff, program bertaraf antarabangsa seperti ini perlu dilaksanakan pada setiap tahun bagi memperkenalkan budaya Malaysia kepada negara luar.

“Program antarabangsa seperti ini dapat memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa, secara tidak langsung ianya mampu memartabatkan ilmu antara budaya dan bahasa dalam kalangan orang Malaysia dan orang Jepun,” katanya.

Selain itu Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa, Cik Nurul Sabrina Zan, program ini dapat mengeratkan hubungan antara UTHM dan GLEEA, serta dapat memperkenalkan UTHM kepada negara luar khususnya negara matahari terbit ini.

Dua orang pelajar UTHM yang mengambil kursus Bahasa Jepun, Irdeena Solehah Ibrahim dan Kan Mei Ying telah ditugaskan sebagai Camp Leader dalam program tersebut. Turut serta dalam program ini dua staf PBB, Hiyama Junko dan juga Siti Hajar Bidin.

Pengerusi GLEE, Masaru Kono turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak UTHM kerana bekerjasama dengan pihak GLEEA dalam menganjurkan program ini.

“Program kolaborasi dan perkongsian ilmu seperti ini juga sangat membantu kedua-dua pihak iaitu UTHM dan GLEEA dalam menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, program “International Exchange Summer Camp for Japanese Secondary School Students” merupakan kali keempat dilaksanakan di Ozu, Jepun.