7 perkara unik yang mungkin anda tidak tahu mengenai universiti terbaik dunia

Massachusetts Institute of Technology (MIT) telah mengungguli QS World University Rankings®2020 untuk kali ke-lapan berturut-turut sebagai universiti terbaik di dunia. Pencapaian ini adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria termasuk jumlah...
8

Massachusetts Institute of Technology (MIT) telah mengungguli QS World University Rankings®2020 untuk kali ke-lapan berturut-turut sebagai universiti terbaik di dunia. Pencapaian ini adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria termasuk jumlah sitasi bagi setiap fakulti serta jumlah pelajar antarabangsa. Keunggulan universiti ini menjadikan ia sebagai salah satu tempat idaman ramai untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Penulis telah terpilih untuk menjalani satu program bertemakan penyelidikan dan kolaborasi di MIT. Para peserta program ini terdiri daripada para pelajar pasca siswazah MIT dan Imperial College London. Program ini membolehkan penulis untuk menyelusuri citra warna kehidupan pelajar di universiti terbaik di dunia ini. Terdapat banyak yang boleh dipelajari hasil daripada lawatan penulis dan berikut adalah tujuh perkara unik di MIT yang mungkin anda tidak tahu.

 

1. MIT dan Harvard University terletak bersebelahan

Lokasi dua universiti terbaik dunia ini adalah sangat berdekatan di antara satu sama lain di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat. Pemandangan yang cantik dapat dilihat semasa menyelusuri Sungai Charles yang tebingnya dikongsi oleh kedua-dua universiti ini. Aktiviti santai seperti mengemudi kapal layar dan membaca buku di atas rumput hijau di tepi tebing sungai terlihat sering dijalani semasa cuaca kelihatan baik.

Kapal layar di Sungai Charles

2. “ Great Dome” antara mercu tanda MIT

“Great Dome” adalah salah satu mercu tanda yang melambangkan MIT. Berada di persekitaran mercu tanda ini mampu melahirkan perasaan megah dan terpukau oleh mata yang memandang lantaran kerana kecantikan senibinanya. Ia adalah berdekatan dengan bangunan-bangunan gah yang dinamakan sempena nama-nama pemikir hebat termasuk Darwin.

3. Lawatan kampus percuma bagi yang berminat untuk belajar di MIT

Lawatan percuma disediakan untuk yang berhajat dan ia dimulakan dengan penerangan oleh pihak pengurusan MIT berkenaan syarat pertimbangan untuk kemasukan. Permohonan yang mempunyai rujukan yang baik, lulus dengan cemerlang akan peperiksaan khas serta lulus sesi temuduga mempunyai peluang yang baik untuk diterima masuk. Lawatan keliling kampus diadakan dalam kumpulan yang kecil dan diketuai oleh pemandu pelancong yang kebiasaannya terdiri daripada para pelajar senior MIT sendiri dan sering diadakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan dan diwar-warkan di dalam laman web universiti.

4. Jenaka praktikal atau “Prank” adalah dibenarkan

Jenaka praktikal adalah dibenarkan namun perlaksanaannya perlu mengikut etika yang telah digariskan. Etika ini dinamakan sebagai “Hacking Ethics”. Antara jenaka praktikal yang terkenal adalah seekor lembu yang dipakaikan topi ijazah, sebuah teksi diletakkan di atas “Great Dome”, dan sebuah air pancut yang muncungnya dipasang hos pili bomba. Walaupun kelihatan lucu, namun setiap jenaka mempunyai maksud tersirat yang menggambarkan situasi para pelajar di universiti ini. Di sini, para pelajar terlihat diberi kebebasan untuk mengekspresi idea yang membolehkan mereka berfikir di luar konteks kebiasaan dan secara kreatif dalam keadaan yang santai.

5. Rekabentuk senibina yang moden dan futuristik

Sesuai dengan tahap prestij MIT sebagai universiti terbaik dunia di usia penubuhan yang muda iaitu 158 tahun, rekabentuk senibinanya melambangkan kemodenan dan futuristik. Antara bangunan yang menarik perhatian adalah Ray and Maria Stata Center dan Kresge Auditorium. Terdapat juga arca unik hasil gabungan nombor dan simbol matematik yangmana ia diberi nama sebagai Alchemist. Arca ini berbentuk seperti seseorang yang sedang meneleku berfikir sambil memeluk lutut.

Ray and Maria Stata Centre

Kresge Auditorium

Alchemist berbentuk manusia yang sedang meneleku berfikir sambil memeluk lutut

6. “Brass Rat” untuk pelajar MIT sebagai cincin peringatan

Bagi pelajar MIT, mereka akan menerima “Class Ring” atau dikenali sebagai “Brass Rat” sebagai cincin peringatan. Rekabentuk cincin peringatan ini akan berbeza mengikut kumpulan kemasukan pelajar. Rekabentuk cincin akan mempunyai tulisan “Massachusetts” dan “World” di kedua-dua tebing cincin berkenaan. Semasa pelajar di tahun kedua pengajian, “Brass Rat” akan dipakai dengan tulisan “Massachusetts” akan menghadap ke arah muka dan disebaliknya apabila pelajar tersebut telah bergraduasi. Ini simbolik kepada kenyataan bahawa sebagai seorang pelajar, medan dimana pelajar ini perlu berjuang adalah di MIT dan Massachusetts, tetapi apabila telah bergraduasi cincin tersebut akan diterbalikkan dengan tulisan “World” pula menghadap ke arah muka dengan bermaksud bahawa pelajar ini akan berjuang di medan yang lebih besar yakni, dipersada dunia.

Class Ring (Brass Rat)

7. Bergraduasi hanya apabila lulus ujian renang

Setiap pelajar MIT hanya dibenarkan untuk bergraduasi setelah lulus ujian berenang. Ada jenaka berkenaan dengan terdapatnya para pelajar MIT yang menerima skrol ijazah dengan rambut yang masih basah kerana baru sahaja selesai menjalani ujian renang di minit terakhir sebelum bergraduasi.

Kolam renang MIT

Semoga penulisan berkenaan tujuh perkara unik universiti terbaik dunia ini dapat memberi infomasi bermanfaat kepada pembaca.

 

* Ts Dr. Norpadzlihatun Manap (UTHM)

Visiting Researcher, Imperial College London, United Kingdom

 

Categories
Rencana

RELATED ARTICLE