5 Rahsia Kelebihan Menjadi Sukarelawan Mahasiswa

Aktiviti-aktiviti kesukarelawan atau khidmat masyarakat semakin berkembang dan mendapat perhatian umum pada masa kini bukan sahaja dalam kalangan badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun ia juga menjadi perkara signifikan kepada...
khidmat masyarakat rohingya

Aktiviti-aktiviti kesukarelawan atau khidmat masyarakat semakin berkembang dan mendapat perhatian umum pada masa kini bukan sahaja dalam kalangan badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun ia juga menjadi perkara signifikan kepada institusi-institusi pengajian tinggi. Usaha murni ini merupakan platfom terbaik dalam memecahkan tembok dan juga merapatkan jurang di antara dua pihak iaitu universiti dan masyarakat.

Semangat kesukarelawan melalui pelbagai bentuk khidmat sosial secara sukarela ini giat dijalankan di peringkat global. Misalnya di Australia, kebanyakkan universiti membuka ruang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan (student volunteer) dalam usaha membantu bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga di negara-negara yang memerlukan bantuan. Tidak kurang juga di Malaysia, yang mana penglibatan mahasiswa dalam menggembleng tenaga sebagai sukarelawan ini telah membuka mata pelbagai pihak di atas usaha yang disumbangkan kepada masyarakat setempat mahupun di peringkat antarabangsa. Apa kelebihan atau faedah menjadi sukarelawan mahasiswa ini?

 

  1. Meningkatkan kepuasan diri (Self Satisfaction)

Dalam usaha mencapai kepuasan dan kegembiraan dalam hidup, mahasiswa perlu mempunyai matlamat serta tujuan yang jelas. Dengan menghulurkan bantuan mahasiswa dapat meningkatkan rasa kepuasan dalam diri masing-masing. Menurut pakar psikologi Dr. Tim Sharp yang juga dikenali sebagai “Dr. Happy” dari University of Sydney, seseorang akan merasa gembira apabila membuat orang lain gembira. Dengan meluaskan “happiness vibe” ini secara tidak langsung ia juga dapat merangsang minda (otak) untuk lebih cergas yang mana ia sangat penting kepada mahasiswa.

 

  1. Menjadikan tahap kesihatan lebih baik

Ramai dalam kalangan mahasiswa yang menghadapi kemurungan akibat daripada terlalu tertekan dengan tugasan,ujian dan kuiz yang banyak. Perubahan “life style” di kampus yang malap dan pasif perlu diubah secara total oleh mahasiswa. Salah satu caranya ialah dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan dalam aktiviti khidmat sosial yang dianjurkan oleh kelab-kelab pelajar atau mana-mana organisasi kerajaan dan bukan kerajaan. Ini kerana dengan penglibatan secara aktif, ia dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan psikologi mahasiswa. Badan yang cergas dapat membentuk otak yang cerdas.

 

  1. Mengukuhkan jaringan sosial

Menyertai Kesukarelawan Mahasiswa merupakan langkah bijak dalam usaha meningkatkan jaringan sosial (social networking). Terdapat pelbagai cara yang mahasiswa boleh lakukan dalam usaha meluaskan jarian sosial ini antaranya melalui kutipan bantuan dana, bantuan tenaga, perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi. Melalui usaha murni ini, sekaligus ia dapat menerapkan hubungan yang lebih positif di antara mahasiswa dan komuniti di peringkat tempatan mahupun global dengan wujudnya sikap kerjasama, kepercayaan dan rasa hormat yang tinggi.

 

  1. Mewujudkan jaringan profesional

Pelbagai aktiviti-aktiviti khidmat sosial yang dianjurkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi boleh disertai oleh mahasiswa. Di University of Melbourne misalnya, mahasiswa diberi pilihan sama ada melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan di dalam atau di luar kampus. Mahasiswa bukan sahaja dapat meluaskan kenalan tetapi juga dapat meningkatkan kemahiran dan jaringan profesional melalui aktiviti seperti “Engineers without borders,” “The Grainger Musem,” “Melbourne Microfinance Initiative,” “Big Bothers Big Sisters” dan ” Go Volunteers”. Aktiviti-aktiviti tersebut merupakan “lubuk” terbaik untuk mahasiswa menimba pengalaman secara terus daripada pakar-pakar dan juga profesional dari industri.

 

  1. Mewujudkan nilai tambah dalam diri

Dalam usaha menjadi mahasiswa holistik, mereka perlu bijak mengatur strategi dalam mencapai kecemerlangan akademik dan “soft skill.” Keseimbangan ini telah menjadi faktor utama dalam kalangan majikan atau organisasi untuk membuat pemilihan pekerja pada era ini. Mahasiswa yang aktif dalam aktiviti khidmat sosial mempunyai “bonus” untuk mereka menceburi dunia kerja yang sebenar dan mempunyai peluang yang lebih untuk mendapatkan pekerjaan. Kelebihan mahasiswa yang cenderung dan aktif dalam pelbagai aktiviti khidmat sosial ini dilihat mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi, semangat kerjasama yang baik, memiliki sikap toleransi dan mempunyai sikap ingin membantu yang tinggi.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memperluaskan kegiatan kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa ini. Bukan sahaja minda mahasiswa yang perlu berubah, malah transformasi minda secara konsisten dengan menyediakan ruang dan peluang yang luas serta dana yang mencukupi oleh pihak kerajaan dan swasta, institusi-institusi pengajian, badan-badan bukan kerajaan serta komuniti adalah diperlukan dalam memastikan nilai melalui aktiviti “gotong-royong” dan “rewang” yang pernah dikenali suatu masa dulu dapat diteruskan oleh generasi kini dan akan datang secara mampan.

 

Oleh:

Profesor Madya Dr.Md Asrul Nasid Bin Masrom (UTHM)

Visiting Scholar

Faculty of Architecture, Building and Planning,

University of Melbourne

Victoria, Australia.

Categories
Rencana

RELATED ARTICLE