BATU PAHAT – Sebanyak 100 buah sekolah dari seluruh negeri Johor menyahut cabaran menyertai RERO Annual Championship (RAC 2019) peringkat negeri Johor yang telah berlangsung selama dua hari di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 22 hingga 23 Julai lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, kampus induk.

Pertandingan anjuran RERO EDUteam dengan kerjasama Cytron Technologies dengan sokongan pergerakan MDEC #mydigitalmaker dan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), UTHM ini berlangsung dengan meriah apabila 51 pasukan kategori sekolah rendah dan 71 pasukan kategori sekolah menengah telah menyertai pertandingan ini bagi dinilai dan bersaing untuk layak ke pertandingan peringkat kebangsaan. Satu pasukan terdiri daripada tiga pelajar dan diiringi oleh guru pengiring. Pertandingan ini telah dinilai dibawah juri jemputan daripada ADTEC Taiping.

Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat dan meningkatkan pemahaman murid-murid sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan memperkenalkan robotik dan pengekodan. Pertandingan ini juga dianjurkan bagi mencari pelapis kepada pasukan terbaik bagi mewakili negeri Johor ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa selain memberi peluang kepada murid-murid sekolah untuk mengembangkan bakat dan kreativiti masing-masing dalam bidang elektrik dan elektronik melalui penciptaan robotik dan pengekodan robot.

Selain itu sebagai tuan rumah untuk pertandingan buat kali kedua ini, UTHM telah berjaya menjalinkan hubungan yang baik dengan KPM dan Cytron Technologies sekali gus menyokong inisiatif KPM yang ingin mengubah belia Malaysia dari pengguna digital kepada penerbit di dalam ekonomi digital.

Tiga kategori telah dipertaruhkan dalam pertandingan ini iaitu kategori “RERO Micro Live Coding”, “RERO Jr Live Coding” dan “RERO Build Your Own Robot” yang mana pelajar harus bersaing untuk melengkapkan tugasan mengikut aras untuk mengumpul mata dengan robot yang diprogram sendiri.

Majlis penutup pertandingan ini telah berlangsung pada waktu petang hari ke dua pertandingan dan dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Shahruddin Mahzan, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) diiringi oleh Timbalan Dekan dan wakil daripada Cytron Technologies.

Untuk rekod, pertandingan ini merupakan pertandingan robotik edisi keempat yang dianjurkan oleh RERO EDUteam sejak tahun 2015 dan tahun ini merupakan tahun kedua UTHM menjadi tuan rumah.