UTHM pupuk kesedaran Institusi Pendidikan budayakan wakaf

Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam mengetengahkan budaya wakaf dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang manfaat ibadah ini. Bagi meneruskan usaha...
Perasmian majlis dirasmikan oleh YB

Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam mengetengahkan budaya wakaf dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang manfaat ibadah ini.

Bagi meneruskan usaha ini, UTHM sekali lagi menjadi tuan rumah bagi penganjuran seminar “Munaqasah Ilmu Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan” yang berlangsung pada 11 Julai lalu bertempat di Dewan Kuliah 2, kampus induk.

Program anjuran Pusat Endowmen dan Wakaf UTHM dan Jabatan Wakaf dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada institusi pendidikan khususnya di negeri Johor dan Melaka untuk melaksana wakaf serta merancakkan lagi aktiviti-aktiviti pendidikan berasaskan wakaf. Selain itu, seminar ini juga dianjurkan bagi menggalakkan institusi pendidikan terlibat menjana ekonomi melalui aktiviti wakaf sekali gus mengurangkan kebergantungan dana daripada kerajaan.

Seminar ini melibatkan empat orang pembentang yang membentangkan kertas kerja meliputi pelbagai tajuk berkaitan pengurusan wakaf Institusi pendidikan, yang berpandukan model panduan pengurusan wakaf di dalam dan luar negara.

Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Wakaf UTHM, Profesor Dr. Ismail Omar, Pegawai Syariah Pusat Endowmen dan Wakaf UTHM, Ustaz Mustapahayuddin Abdul Khalim, Pengarah Wakaf dan Endowmen UTHM, Profesor Sr. Dr. Wan Zahari Wan Yusoff dan Pegawai Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM), Ustaz Nurliman Ibrahim.

Perasmian seminar telah disempurnakan oleh Penasihat Wakaf UTHM dan merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Tn. Hj. Jaafar Ismail, Pegawai-Pegawai Kanan JAWHAR, Pegawai-Pegawai Kanan MAINJ dan Pegawai-Pegawai Kanan Universiti.

Menurut Dato’ Dr. Haji Nooh, UTHM sebelum ini telah melaksanakan program ‘Wakaf Tunai Pendidikan’ dan telah mengumpul sejumlah dana sejak tahun 2017 lagi.

“Dana Wakaf Tunai Pendidikan UTHM yang mula dilancarkan pada Ogos 2017 lalu telah dan sedang melaksanakan pelbagai aktiviti termasuklah wakaf hemodialisis, Wakaf Prasarana dan Kiosk Wakaf Perniagaan bagi menjana pendapatan,” katanya.

Tambahnya lagi, dana-dana yang terkumpul ini akan digunakan untuk memberi manfaat kepada pelajar serta aktiviti kebajikan pelajar.

“Dana wakaf yang terkumpul akan diagihkan kepada para pelajar melalui pembayaran biasiswa, bantuan kewangan, bayaran yuran serta aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar juga untuk aktiviti aktiviti penyelidikan dan pembangunan,” jelasnya.

Seminar Munaqasyah ini mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 550 peserta telah menghadiri program tersebut yang terdiri daripada pengurus wakaf Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), pengetua dan guru besar sekolah menengah dan rendah serta guru-guru sekolah agama, serta pengurus dan pentadbir institusi  pondok, tahfiz dan madrasah seluruh Johor dan Melaka.

Untuk rekod, Seminar Munaqasyah ini diadakan bersempena penerbitan Buku Panduan Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan (PPWIP) yang telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof pada 11 Oktober 2018 lalu bertempat di UPM, Serdang, Selangor.

Majlis turut menyaksikan pelancaran dua produk baharu wakaf iaitu Wakaf Khidmat Perundingan Profesional dan Wakaf Harta Intelek.

Wakaf Khidmat perundingan profesional merupakan satu platform untuk ahli-ahli akademik dan profesional menjalankan pelbagai kerja perundingan profesional di dalam dan luar universiti yang meliputi perkhidmatan kepakaran termasuk perkhidmatan latihan, nasihat pakar, perundingan dan pengujian serta penganjuran seminar dan kursus. Hasil bayaran yang diterima daripada khidmat perundingan ini akan diwakafkan kepada Dana Wakaf Tunai Pendidikan UTHM untuk manfaat biasiswa kepada pelajar yang memerlukan juga aktiviti yang diluluskan oleh Lembaga Penasihat wakaf.

Manakala Wakaf Harta Intelek pula merupakan wakaf ke atas hasil karya ilmiah berbentuk buku karya asli dan terjemahan atau seumpamanya. Ahli-ahli akademik yng menghasilkan karya ilmiah dan harta intelek ini boleh mewakafkan hasil royalti buku berkenaan kepada Dana Wakaf Tunai Pendidikan UTHM untuk agihan kepada penerima manfaat.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE