Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited menangani sebarang salah laku integriti di kampus yang melibatkan staf dan pelajar termasuk integriti akademik seperti konflik kepentingan, pemalsuan data dan maklumat, pelanggaran perjanjian dan plagiat agar ianya tidak menjadi barah dalam kalangan warganya.

Menurut Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly, UTHM akan mengambil tindakan tegas kepada pelaku yang didapati bersalah kerana terlibat dalam jenayah akademik sehingga boleh memberi reputasi buruk kepada pengurusan akademik mahupun pentadbiran.

Wahid dalam kenyataannya menjelaskan UTHM menyediakan beberapa saluran untuk pelajar dan staf mengemukakan aduan berkaitan jenayah akademik ini. Salah satunya melalui Sistem Saluran Aduan dan Cadangan (SACAD) yang berperanan sebagai portal aduan atau cadangan terus kepada pihak pentadbiran universiti untuk maklum balas dan tindakan segera.

Tambah beliau lagi, aduan salah laku juga boleh dibuat melalui e-mail atau surat rasmi kepada pihak pengurusan tertinggi universiti, pengurusan fakulti atau Pejabat Penasihat Undang-Undang, dan aduan tersebut akan disiasat dan ditadbir mengikut tatacara universiti di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] dan Kaedah-Kaedah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 2009.

UTHM juga amat menitikberatkan aspek etika yang melibatkan kejujuran dan integriti dalam setiap aktiviti penyelidikan dan penerbitan di kampus.

“Pihak kami mengawal selia segala aktiviti bermula dari awal pengurusan geran sehinggalah ke peringkat akhir hasil penyelidikan.

“Ini termasuklah menghormati subjek-subjek penyelidikan, menggunakan dana penyelidikan secara berhemah dan mengiktiraf semua pihak yang terlibat dalam penyelidikan,” katanya.

Ahli penyelidik melalui ‘Garis Panduan Etika Penyelidikan Umum Universiti’ ditegaskan untuk mematuhi prinsip akauntabiliti, sahsiah dan profesional yang digunakan di universiti untuk mengelakkan berlakunya penyelewangan dalam setiap penerbitan.

“Bagi melayakkan mereka dimasukkan dalam senarai penulis, para penyelidik juga perlu memberi kredit dan pengikhtirafan mengikut keutamaan individu yang memberi sumbangan yang signifikan dalam projek,” tambah Wahid.

Kata beliau lagi, UTHM telah pun mewujudkan dan menguatkuasakan ‘Kod Etika dan Integriti Akademik’ sejak tahun 2008 lagi yang menekankan pemberian keutamaan kepada keaslian dan keunggulan karya yang dihasilkan berdasarkan akta hak cipta semasa.

Untuk rekod, UTHM telah pun mempunyai jawatankuasa khas untuk menyiasat aduan berkaitan integriti dan universiti ini tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas jika berlaku jenayah ini di kampus.