MELAKA – Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya meraih tujuh pingat di International E-Learning Carnival dan Conference (elCC 2019) yang berlangsung pada 26 Jun lalu di Dewan UTeM 1, Kampus Teknologi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Tahun ini Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (PPD) telah menghantar sebanyak tujuh penyertaan dan kesemuanya telah mendapat tempat dengan meraih empat pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Antara projek yang meraih pingat emas ialah Enhancing student’s engagement and interest in the Al-Quran comprehension and interpretation through collaborative learning game (Qarin Warrior) yang diketuai oleh Rosfuzah Roslam, Kiddo Disleksia Mobile Application: A Dyslexia Screen Tool in Malay Language diketuai oleh Mohd Faizal Mohamed Nor, Development of Industrial Training Assessment System (iTAS) 2.0: A Step Forward to Educator 4.0 diketuai oleh Ts. Rafizah Mohd Hanifa dan e-sirah Siti Khadijah : The development of mobile apps for hearing-impaired students towards Education 4.0 diketuai oleh Juliana Mohamed.

Pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat, Ts. Rafizah Mohd Hanifa berkata penyertaan tahun ini dijadikan sebagai pemangkin kepada pelajar untuk meningkatkan inovasi serta kreativiti masing-masing dalam melaksanakan projek-projek akhir bagi program diploma.

“Pertandingan ini merupakan platform bagi mempromosi, meneroka serta berkongsi amalan terbaik dan kepakaran global dalam aplikasi e-pembelajaran di institusi pengajian tinggi” tambahnya.

Pertandingan kali ini turut diperluaskan dengan tambahan beberapa kategori seperti Virtual & Augmented Reality, Gamification, Blended Learning, Flipped Learning, Massive Open Online Course (MOOC), e-Assessment, Intelligent Tutoring System (ITS), Virtual Learning Environments (VLEs), Learning Management System (LMS), Personal Learning Environments (PLEs), e-Portfolios, Learning Analytic dan Global Classroom.

Untuk rekod, program yang melibatkan pertandingan, pameran dan persidangan ini terbuka kepada ahli akademik atau penyelidik dari institusi pendidikan awam dan swasta termasuk universiti, politeknik, kolej vokasional dan kolej komuniti.