Bagi melahirkan warga universiti yang sihat dan cergas, pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan oleh Pusat Sukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (PSU) untuk menjadikan sukan dan kecergasan sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan amalan seharian.

Mengambil tanggungjawab ini, PSU telah menganjurkan Program “Maharaja Kurus Challenge” (MKC) yang telah memasuki edisi kedua penganjurannya. Untuk rekod, penganjuran edisi pertama sebelum ini telah berjaya membantu para peserta menurunkan berat badan sekitar 5 hingga 7 kilogram sekali gus menyuntik semangat PS untuk terus membantu lebih ramai lagi warga universiti dan komuniti untuk menikmati kualiti hidup yang lebih sihat.

Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Farhawahidah Ahmad Puad berkata melalui MKC 2.0 yang bermula pada 1 hingga 31 Julai ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai teknik dan rutin senaman termasuk aktiviti fizikal dan bootcamp.

“Ilmu pemakanan yang sihat dan seimbang juga dipraktik dan ditekankan dalam tempoh ini termasuk pemantauan dan sokongan secara berkumpulan dengan menggunakan aplikasi whatsApp,” katanya.

Selain itu, program ini juga telah berjaya membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti penyakit asma, kencing manis dan jantung.

“Dengan senaman dan latihan kecergasan selama satu bulan ini, pelbagai kesan positif dapat dilihat dalam kalangan peserta.

“Mereka semakin ‘enjoy’ dan teruja untuk terus terlibat dalam aktiviti sihat ini selain gembira dengan peratusan penurunan berat badan yang dicapai,” jelasnya lagi.

Menurut salah seorang peserta Muhamad Uzma Radzi, program ini banyak memberi kesedaran dan ilmu berguna kepadanya dalam mengamalkan pemakanan yang betul dan melakukan aktiviti outdoor yang sesuai mengikut kemampuan diri.

Tambahnya lagi, dengan bimbingan daripada coach yang terlatih dan kreativiti latihan yang pelbagai, para peserta tidak jemu dan semakin bersemangat untuk mengikuti program sehingga selesai.

PSU berharap program ini berjaya mencapai objektif dan matlamat penganjurannya serta mampu memberikan motivasi kepada lebih ramai lagi warga universiti untuk menurunkan berat badan ke paras unggul selain berupaya memupuk gaya hidup sihat dan mencegah penyakit berkaitan obesiti.