Keusahawanan lestari: di manakah kita?

oleh Ts. Dr. Roslinda Ali Dewasa ini, keusahawanan telah menjadi suatu topik yang hangat diperkatakan.  Terdapat pelbagai jenis kursus dan aktiviti berkaitan keusahawanan yang disediakan oleh agensi-agensi luar bagi...
Agrotourism and Entrepreneurship

oleh Ts. Dr. Roslinda Ali

Dewasa ini, keusahawanan telah menjadi suatu topik yang hangat diperkatakan.  Terdapat pelbagai jenis kursus dan aktiviti berkaitan keusahawanan yang disediakan oleh agensi-agensi luar bagi menarik minat orang ramai untuk menglibatkan diri dalam bidang ini.  Kerajaan Malaysia sendiri memandang serius isu ini.  Perihal keusahawanan telah mula diperkatakan sejak Rancangan Malaysia Ketiga melalui Dasar Ekonomi Baru.  Pada masa itu, aktiviti keusahawanan diperkenalkan untuk merapatkan jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera.  Selepas dari itu, bidang keusahawanan mula diperluaskan di peringkat sekolah dan universiti sebagai pendedahan kepada pelajar dalam aktiviti perniagaan.  Selain itu, ia juga dijadikan sebagai salah satu elemen terpenting dalam Strategi Baru Lautan Biru (NBOS).

Sesuai dengan peredaran zaman, bidang keusahawanan telah mula diperluaskan daripada aktiviti perniagaan kepada aktiviti politik dan sosial.  Aktiviti keusahawanan di syarikat besar dikenali sebagai intrapreneurship; yang mana ia merangkumi amalan gaya pengurusan korporat yang menggabungkan pendekatan mengambil risiko dan inovasi, serta teknik motivasi dan ganjaran.  Terkini, istilah “keusahawanan” telah mula diperluaskan dan dimasukkan elemen khusus sehingga tercetusnya inisiatif keusahawanan yang baharu seperti keusahawanan korporat, keusahawanan francais, keusahawanan digital, keusahawanan eko, keusahawanan sosial dan yang terkini keusahawanan lestari.

Perkataan keusahawanan lestari atau dalam bahasa inggerisnya sustainopreneurship telah mula digunakan secara rasminya buat sejulung-julung kalinya dalam penerbitan akademik oleh Gerlach pada tahun 2003.  Beliau telah memperkenalkan istilah ini dalam satu pembentangan kertas kerja mengenai “Pengurusan Kemampanan Dalam Tindakan” di University of St. Gallen, Switzerland.  Abrahamsson pada tahun 2007 dalam kajiannya mendefinisikan keusahawanan lestari sebagai “suatu perniagaan bersebab” – yang mana ia menggunakan pengurusan perniagaan untuk menyelesaikan masalah berkaitan kemampanan alam sekitar dan sosial.  Dalam erti kata lain, dalam keusahawanan lestari, masalah kemampanan alam sekitar dan sosial, dengan penerapan inovasi, dijadikan sebagai peluang perniagaan untuk menyelesaikan masalah dunia dan memperolehi kepuasan sosial dan ganjaran kewangan.

Mutakhir ini, di negara-negara Barat, trend perniagaan telah mula berubah daripada perniagaan yang bermotifkan keuntungan semata-mata kepada perniagaan lestari.  Kita berada dalam zaman serba moden yang mana kita banyak menggunakan tenaga setiap hari.  Penduduk dunia dianggarkan menggunakan lebih kurang 40% sumber tenaga setiap tahun dan ini tidak dapat digantikan semula.  Gaya hidup ini perlu diubah bagi memastikan generasi akan datang tidak menanggung kesan akibat dari perbuatan kita.

Terdapat banyak contoh-contoh sejarah yang menunjukkan suatu tamadun telah memusnahkan alam sekitarnya hingga memberikan kesan kritikal kepada survival manusia dan habitat lain.  Kelestarian mengambil kira bagaimana kita dapat hidup harmoni dalam suasana semulajadi tanpa memusnahkan dunia.  Antara tokoh dunia terkenal yang memperjuangkan hak kelestarian adalah Elon Musk.  Elon Musk merupakan seorang jutawan usahawan lestari.  Misi hidupnya adalah untuk membantu mengubah dunia dengan mengurangkan pemanasan global melalui penghasilan dan penggunaan tenaga mampan.  Antara ciptaannya yang mendapat pasaran antarabangsa adalah kenderaan elektrik dan sistem kawalan powertrain yang digunakan oleh kenderaan mewah seperti Mercedes dan Toyota.

 

Bagaimana untuk menjadi usahawan lestari di Malaysia?

Hampir 95% perniagaan yang sedia ada di Malaysia merupakan perniagaan konvensional.  Matlamat perniagaan mereka adalah untuk meraih ganjaran keuntungan semata-mata.  Mereka tidak mementingkan empati dan masalah kemampanan alam sekitar dan sosial.  Mereka beranggapan perniagaan yang sedia ada ini tidak boleh diubah untuk menjadi suatu perniagaan lestari.  Hakikatnya, tanggapan ini adalah salah.  Setiap perniagaan yang ada boleh diubah ke arah kelestarian, usahawan hanya perlu mengubah cara pemikiran mereka. Konsep keusahawanan konvensional dan keusahawanan lestari tidak banyak jauh berbeza.  Usahawan masih perlu untuk berfikir di luar kotak bagi menjadikan perniagaan mereka kompetitif dan berdaya saing.  Apa yang membezakan antara keusahawanan konvensional dan lestari adalah perniagaan konvensional bermotifkan keuntungan semata-mata manakala perniagaan lestari bermotifkan mencari jalan penyelesaian kepada masalah kemampanan alam sekitar dan sosial.  Ganjaran kewangan bukan menjadi motif utama dalam perniagaan lestari.

Sebagai contoh, perniagaan jualan makanan di kantin sekolah.  Kebanyakan peniaga kantin sekolah tidak menjaga kebersihan kawasan kantin.  Mereka selalunya membuang sisa minyak dan makanan ke dalam longkang berhampiran mengakibatkan longkang tersumbat dan menjadi busuk.  Untuk menyelesaikan masalah ini, terdapat beberapa langkah kelestarian yang boleh diambil.

Pertama sisa minyak, peniaga boleh memasang alat penapisan minyak bagi memastikan sisa minyak yang terhasil tidak mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh dihantar terus ke kilang untuk pelupusan.  Selain itu, minyak yang terhasil juga boleh dimasukkan ke dalam botol-botol plastik dan dijadikan sebagai ecobricksEcobricks adalah merupakan botol plastik yang disumbat dengan plastik yang telah diguna pakai, bahan pepejal dan sisa bukan biologi untuk mewujudkan blok bangunan yang boleh digunakan semula.  Ecobricks boleh digunakan untuk membuat perabot, batas tanaman dan bangunan berskala penuh seperti sekolah dan rumah dengan menggunakan beberapa teknologi terkini.

Kedua adalah sisa makanan.  Sisa makanan yang terhasil boleh dikumpulkan dan dibuat baja kompos.  Baja ini kemudiannya boleh digunakan dan dijual semula untuk menjana pendapatan.  Sebenarnya jika dilihat, walaupun motif utama perniagaan lestari adalah bukan untuk mendapatkan ganjaran kewangan, namun, usahawan masih lagi boleh menjana pendapatan hasil daripada penyelesaian yang dibuat.  Dalam kes peniaga kantin tadi, seandainya mereka mengamalkan perniagaan lestari, mereka bukan sahaja dapat menjaga persekitaran yang bersih dan menghasilkan makanan yang lebih bersih dan berkhasiat, malah mereka juga dapat menjana pendapatan daripada ecobricks dan baja kompos yang dibuat.

Lonjakan paradigma dari minda keusahawanan konvensional kepada minda keusahawanan lestari haruslah diterapkan dalam masyarakat secara amnya dan kepada usahawan baru dan usahawan sedia ada khususnya.  Persoalannya, adakah rakyat Malaysia bersedia untuk mengambil langkah ini?  Adakah kita mampu untuk mengubah minda dan persepsi untuk meletakkan masalah kelestarian yang semakin mengancam kestabilan dunia sebagai fokus utama perniagaan? Adakah kita mampu menjadikan ganjaran keuntungan bukan sebagai fokus utama perniagaan? Jawapannya ada pada tangan anda.

 

:: Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, UTHM

 

Categories
Rencana

RELATED ARTICLE