BATU PAHAT, 24 Jun – Bagi melahirkan tenaga pengajar yang profesional dalam bidang Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Nadi Aero Consultants telah menganjurkan kursus Aerospace Standard AS9100 Awareness bertempat di Perpustakaan Tun Aminah, kampus induk.

Penganjuran kursus sebegini dilaksanakan oleh fakulti ini bagi memberi nilai tambah kepada tenaga pengajar selari dengan matlamat universiti yang ingin melahirkan lebih ramai golongan profesional melalui bidang masing-masing.

Nadi Aero Consultants Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat konsultansi yang terlibat secara langsung dengan industri aeroangkasa negara dalam menyediakan latihan teknikal, pensijilan & kelayakan aeroangkasa, perkhidmatan pemeriksaan dan pematuhan aeroangkasa.

Kursus ini dianjurkan bertujuan membangunkan pemahaman berkenaan industri aeroangkasa kepada 16 staf daripada Jabatan Kejuruteraan Pembuatan (JKP) dan Jabatan Kejuruteraan Aeronautik (JKA), FKMP berkaitan piawaian aeroangkasa yang terkini. Mereka telah didedahkan dengan AS9100 terkini yang melibatkan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS).

Pengarah Nadi Aero Consultants, Mohamad Faruqi Nazri berkata UTHM kini perlu mempunyai staf-staf yang profesional dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa khususnya teknologi kejuruteraan pembuatan pesawat, penerbangan profesional dan penyelanggaraan pesawat selari dengan keperluan industri.

Katanya, negara kini lebih tertumpu kepada sistem-sistem baru yang mempunyai kualiti dan bermutu tinggi terutama dalam bidang kejuruteraan.

“Pihak kami juga sentiasa menerokai dan mempelajari lebih banyak sistem-sistem dan perubahan teknologi baharu bagi meningkatkan lagi teknologi yang sedia ada.

“Walaupun nampak seperti tidak releven, namun perkara ini sentiasa akan menjadi perhatian dunia luar,” katanya ketika ditemui di UTHM hari ini.

Beliau merupakan Alumni UTHM dalam bidang Kejeruteraan Mekanikal pada tahun 2004 dan kini berhidmat sebagai Jurulatih Teknikal di STRATA Manufacturing PJSC, Abu Dhabi. Pada masa yang sama, beliau merupakan pengarah kepada syarikat Nadi Aero Consulants yang bertapak di Kajang, Selangor.