Majlis Sambutan Hari Raya UTHM 2019 disambut meriah

BATU PAHAT, 23 Jun – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tahun ini disambut meriah oleh warga universiti dan tetamu jemputan yang berkunjung ke...
yb

BATU PAHAT, 23 Jun – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tahun ini disambut meriah oleh warga universiti dan tetamu jemputan yang berkunjung ke perkarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk, hari ini.

Majlis anjuran Pejabat Pendaftar, UTHM dengan kerjasama semua pusat tanggungjawab (PTj) ini menyediakan lebih 15 jenis juadah enak seperti ketupat, rendang, kambing golek, laksa, cendol, dan satay.

Bagi merapatkan lagi ukhwah yang sedia terjalin, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM (LPU), Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman bersama Ahli-ahlinya dan juga Naib Canselor, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly mengadakan lawatan ke setiap gerai yang tersedia di samping turut beramah mesra dengan warga universiti.

Hadir sama ke majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor merangkap ADUN Parit Yaani, YB Aminolhuda Hassan; Ahli-ahli LPU, Timbalan-timbalan Naib Canselor UTHM dan Pegawai-pegawai Kanan universiti.

ADUN Parit Yaani, YB Aminolhuda Hassan yang mewakili kerajaan Johor dalam ucapannya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kepimpinan dan seluruh warga UTHM.

Beliau turut mengingatkan pelajar UTHM agar tidak lupa menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin.

“Para pelajar perlu berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mensia-siakan peluang belajar di sini agar kelak dapat bergraduasi dengan cemerlang sekali gus dapat menjadi pemangkin kepada negara,” katanya.

Bagi memeriahkan lagi suasana, para tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu raya oleh kumpulan yang dijemput khas dari Pusat Kebudayaan, UTHM.

Untuk rekod, majlis sambutan hari raya ini diadakan saban tahun bagi merapatkan lagi hubungan antara pihak kepimpinan dan warga universiti. Penganjuran majlis seumpama ini secara tidak langsung dapat menyemai semangat perpaduan dan kemuafakatan antara satu sama lain.

Categories
Latest News

RELATED ARTICLE