Bagi menyemai minat serta memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai ilmu tulisan jawi dan khat, 25 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Tulisan Jawi dan Khat, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Kembara Jawi Si Cilik pada 26 April lalu.

Program di bawah pimpinan pengajar, Nurulisyazila Othaman ini melibatkan 30 murid dari lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Puleh, Sekolah Kebangsaan Seri Rejo Sari, Sekolah Kebangsaan Seri Taman Kluang Barat, Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak dan Sekolah Kebangsaan Pintas Raya.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Zaim Rasydan Rosmadi penganjuran program Kembara Jawi Si Cilik ini bertujuan untuk berkongsi dan mengaplikasi pengetahuan jawi dan khat melalui aktiviti kreatif dan aktif yang dikenali sebagai ‘ekplorasi ilmiah’ kepada para pelajar sekolah.

“Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah membaca dan menulis jawi, mewarna dan mencipta poster jawi dan menulis tulisan khat sekali gus mengaplikasikan ilmu asas jawi dan khat secara berkumpulan dengan bantuan fasilitator,” katanya.

“Kami selaku fasilitator juga merasa bertuah kerana berpeluang menimba pengalaman menguruskan program berbentuk khidmat masyarakat seperti ini di samping mempelajari cara komunikasi yang berkesan bersama pihak luar bagi memantapkan lagi kemahiran insaniah dan keyakinan diri masing-masing,” tambah Zaim.

Sementara itu,  Nurulisyazila pula berkata guru-guru dari sekolah terlibat turut memuji hasil usaha pelajar UTHM menganjurkan program pembelajaran kreatif seperti ini.

Menurutnya program eksplorasi jawi yang pertama kali diadakan ini menjadi titik permulaan kepada pihak sekolah dan UTHM untuk menjalin kerjasama dalam menganjurkan program atau aktiviti yang boleh menarik minat pelajar dalam memperkasa pengetahuan jawi dan khat pada masa akan datang.

“Pengisian yang berfokuskan aktiviti-aktiviti kreatif dan aktif ini secara tidak langsung menambah minat mempelajari jawi dan khat selain memberi peluang  kepada pelajar–pelajar UTHM dan sekolah yang terlibat bertukar idea dan buah fikiran,” katanya.

Tambahnya lagi penganjuran program komuniti sebegini diharap mampu melatih pelajar UTHM untuk  menganjur sesuatu program, dalam masa yang sama menjadikan universiti sebagai sebuah taman ilmu yang berupaya memberi manfaat kepada masyarakat setempat.