KOTA TINGGI – 61 pelajar kursus kokurikulum Sukan & Kercergasan dan Sembelihan Islam di bawah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berganding bahu melaksanakan program khidmat komuniti “Swadaya Desa” bersama masyarakat Orang Asli Kaum Kanaq pada 27 April lalu.

Program yang berlangsung di perkampungan Orang Asli Sungai Selangi, Mawai, Kota Tinggi ini melibatkan suku kaum Kanaq yang merupakan satu-satunya kaum kanaq terakhir yang ada di dunia ini. Perkampungan ini terdiri 26 keluarga dan hanya 92 orang asli yang masih menetap di kawasan tersebut. Istimewanya kaum Kanaq ini dikatakan amat mahir dalam ilmu membaca bintang bagi menentukan arah.

Berpegang kepada aspirasi “Universiti untuk Masyarakat,” kedua-dua kumpulan pelajar terlibat mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkampungan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat. Selain itu bagi mengeratkan lagi hubungan dengan penduduk kampung, kumpulan pelajar subjek Sukan dan Kecergasan telah mengadakan aktiviti sukan rakyat serta sesi perkongsian berkaitan pemakanan sihat dan kebersihan dengan menyantuni setiap rumah di perkampungan tersebut.

Sementara itu, kumpulan pelajar dari kursus Sembelihan dalam Islam pula pada masa yang sama menjalankan aktiviti sembelihan dan bergotong-royong menyediakan juadah makan tengahari bersama penduduk kampung. Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian sumbangan Fidyah daripada Baitulmal Kota Tinggi kepada 26 keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, YB Haji Rasman Haji Ithnain hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup yang diadakan pada hari yang sama. Turut hadir Penghulu Kampung Sungai Selangi, wakil dari PPUK UTHM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor.

Menurut Rasman, suku kaum Kanaq merupakan orang asli yang berasal dari Teluk Sekanak, Pulau Singkep, Riau. Mereka kemudiannya berhijrah ke Kota Tinggi atas titah Tuanku Sultan Ibrahim ketika pertengahan abad ke-18 disebabkan berlakunya ancaman daripada Belanda.

“Bilangan penduduk yang tinggal kurang daripada 100 orang dan mereka kini diancam kepupusan. Saya sangat mengalu-alukan jika ada penyelidik dari UTHM yang sudi untuk mengkaji dan mempertahankan kelestarian kaum ini,” ujar beliau.

Manakala pelajar dan pengajar yang menganjurkan program “Swadaya Desa” ini pula berharap program sebegini dapat diteruskan lagi bagi memastikan UTHM dapat berfungsi sebagai institusi yang menyelesaikan masalah masyarakat. Tambah mereka lagi, program sebegini berupaya melatih pelajar untuk memahami budaya pelbagai kaum sekali gus mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.