MACHANG – Pasukan UTHM Blackhawk muncul tempat keempat keseluruhan Kejohanan Silat Olahraga Jemputan Antarabangsa Piala TNC HEP UiTM 2019 yang berlangsung pada 2 hingga 4 Mei lalu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kelantan.

Kedudukan tersebut diraih setelah UTHM Black Hawk memenangi satu pingat emas dan empat perak.

Johan keseluruhan diraih oleh UiTM Elit yang membawa pulang sembilan pingat emas, dua perak dan dua gangsa. Manakala tempat kedua disandang oleh UiTM Cawangan Pahang yang mengutip dua emas, empat perak dan lapan gangsa. Tempat ketiga pula jatuh kepada pasukan tuan rumah, UiTM Cawangan Kelantan yang mendapat dua emas, satu perak dan empat gangsa.

Pada kejohanan yang disertai 18 pasukan itu, UTHM Black Hawk dibarisi pesilat-pesilat senior dan baharu bagi memberi pendedahan dan persiapan yang secukupnya menjelang Karnival Sukan MASUM 2019 yang akan berlangsung pada 24 Julai hingga 3 Ogos akan datang di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr. Azizan Abdullah. Hadir sama Rektor UiTM Cawangan Kelantan, YM Dr. Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan; Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Kelantan, Ruslan Zakaria dan Penyelaras Pusat Sukan Tumpuan (PST) Silat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – UTHM, Mohd Hazrin Abd Rahman.