PAKISTAN – Profesor Madya. Dr. Elizabeth M. Anthony dari Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM) telah dijemput sebagai penceramah dan pengucaptama oleh dua universiti di Pakistan pada 28 hingga 31 Mac lalu.

Jemputan rasmi dari Quaid-e-Awam University of Engineering, Science & Technology (QUEST), Nawabshah serta Mehran University of Engineering & Technology (MUET), Jamshoro ini merupakan satu penghormatan untuk UTHM khususnya Pusat Pengajian Bahasa dalam usaha meningkatkan lagi keterlihatan universiti ini di peringkat global. Semasa di QUEST, Elizabeth dijemput untuk menyampaikan ceramah yang berjudul ‘Embrace disruption, rethink learning’ kepada hadirin yang terdiri daripada Naib Canselor, dekan-dekan, staf fakulti dan juga pelajar.

Ceramah yang berlangsung pada 29 Mac ini berkisar tentang  keperluan untuk mengubah amalan pengajaran dan pembelajaran secara tradisional kepada yang lebih maju selari dengan kepesatan dunia digital abad ke-21 ini.  Ceramah interaktif yang membuka minda itu disambut baik oleh para hadirin dengan sesi soal jawab sekali gus berupaya menarik minat mereka untuk mengenali UTHM, selain peluang melanjutkan pengajian di universiti ini.

Manakala pada 30 Mac lalu, Elizabeth juga telah dijemput sebagai Pengucaptama bersama beberapa ahli linguistik terkemuka dari United Kingdom dan Amerika Syarikat ke International Conference on English Language & Linguistics (ICELL’19). Persidangan ini dianjurkan oleh Pusat Bahasa dan Pembangunan Bahasa Inggeris (ELDC), MUET dengan kerjasama Suruhanjaya Pengajian Tinggi (HEC), Pakistan. Persidangan berbentuk forum ini diadakan bagi membincangkan cabaran dan inovasi pada abad ke-21 dalam kalangan komuniti penyelidik bahasa.

Persidangan antarabangsa yang bertemakan “Challenges & Innovations in 21st Century Research in Linguistics & Applied Linguistics” ini menampilkan empat pengucaptama antarabangsa. Elizabeth selaku pengucaptama pertama menyampaikan topik bertajuk “Problem-based learning: A trajectory for 21st century autonomous language learners.” Ucaptama kedua bertajuk “Substrata and contact in spoken Palestinian Arabic” disampaikan oleh Profesor Dr. Francisco A. Marcos-Marin dari University of Texas, Amerika Syarikat manakala Profesor Dr. Madhu Sharma dari Massachusetts, Amerika Syarikat pula menyampaikan topik bertajuk “Challenges of teaching vocabulary to E5 students.

Sesi kemuncak persidangan ini menyaksikan ucaptama ketiga yang bertajuk “English language in 21st century” yang disampaikan oleh Profesor David Crystal dari United Kingdom menerusi Skype. Beliau merupakan pakar linguistik terkemuka yang juga telah menerbitkan dua ensiklopedia iaitu The Cambridge Encyclopedia of Language dan The Cambridge Encyclopedia of English Language.

Kehadiran Elizabeth ke persidangan ini secara tidak langsung dapat menonjolkan lagi bakat dan kemampuan penyelidik bahasa UTHM di mata dunia. Di samping itu, jemputan seperti ini juga menjadi platform kepada UTHM amnya dan Pusat Pengajian Bahasa khususnya untuk terus menjalin hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa.