KUANTAN – Dua pesilat Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM), Ahmad Nur Farhan Ahmad Nordin dan Nur Adilah Mohamad Zamri yang mewakili Pusat Sukan Tumpuan (PST) Silat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya membawa pulang dua pingat gangsa di Kejohanan Silat Jemputan Antarabangsa Pahang 2019 Festival Silat Nusantara 2019 Pahang yang berlangsung di Pusat Beli-Belah Berjaya Megamall, Kuantan pada 6 Mei lalu.

Pada kejohanan itu, sebanyak 21 pasukan mengesahkan penyertaan termasuk penyertaan dari Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Skuad Pahang A muncul johan keseluruhan bagi Silat Olahraga Jemputan Antarabangsa sempena Festival Silat Nusantara Pahang, Malaysia 2019 setelah berjaya meraih tujuh pingat iaitu tiga pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

Naib johan keseluruhan pula dimenangi oleh Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) Kepulauan Riau yang membawa pulang tiga emas dan tiga gangsa. Manakala, tempat ketiga dimenangi pesilat dari Singapura yang mengutip dua emas dan masing-masing dengan satu perak dan satu gangsa.

Bagi kategori remaja pula, Uzbekistan muncul johan apabila berjaya mengutip lima emas dan dua perak, naib johan dimenangi Pahang Junior yang memungut empat emas dan tujuh perak manakala Kyrgyzstan di tempat ketiga dengan meraih dua emas dan dua perak.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain. Hadir sama, Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Pahang, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah dan Setiausaha Agung PESAKA negeri, Datuk Osman Nok.

UTHM berharap Pasukan PST Silat KPM akan terus berjaya dan dapat menjadikan pengalaman menyertai kejohanan ini sebagai pemangkin kepada kejayaan di peringkat antarabangsa kelak.