BATU PAHAT– Bagi meningkatkan lagi kemahiran komputer dalam kalangan masyarakat, seramai 21 penuntut daripada Kursus Rekaan Grafik Berkomputer (Seksyen 1), Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif menganjurkan program “Safety First Through Graphic Design” bersama pelajar tahfiz di Surau Madrasah Tahfiz Al-Jawahir Al-Ulum Sungai Lurus, Senggarang, Johor pada 27 April lalu.

Program Khidmat komuniti di bawah pimpinan pensyarah Mohd Azani Sham ini melibatkan 25 peserta dari Tahfiz Al-Jawahir Al-Ulum Sungai Lurus, Senggarang. Penganjurannya bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai perisian Adobe Photoshop.

Sesi pertama iaitu LDK-1 Basic Tools diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan cara penggunaan setiap tools yang ada di dalam Adobe Photoshop. Para peserta juga diajar kaedah untuk menghasilkan gambar-gambar yang lebih menarik pada sesi kedua iaitu LDK-2 Basic Photo Editing dan sesi ketiga iaitu LDK-3 Basic Poster Editing pula diadakan pertandingan menghasilkan poster bagi mengasah bakat para peserta. Mereka dibekalkan dengan komputer riba untuk memudahkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran.

Turut diadakan, taklimat keselamatan kebakaran yang disampaikan oleh Pengawai Bomba, Muhamed Nasib Muhamed Sam dari Balai Bomba Rengit, Batu pahat. Dalam taklimat itu beliau menerangkan secara terperinci punca-punca yang boleh menyebabkan berlakunya kebakaran serta langkah-langkah yang perlu diambil jika berlakunya insiden tersebut.

ADUN Senggarang, YB Ir. Khairuddin Abdul Rahim hadir merasmikan majlis penutup yang diadakan pada hari yang sama serta turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengadakan program yang sangat bermanfaat ini.

“Masyarakat setempat sangat mengalu-alukan penganjuran aktiviti pemindahan ilmu seperti ini. Justeru itu saya amat berharap UTHM akan terus menganjurkan program-program bermanfaat seumpama ini bersama masyarakat.

“Saya juga berharap para peserta dapat mempraktikkan apa yang mereka belajar semasa program ini berlangsung serta sentiasa berusaha menerokai ilmu berkaitan kemahiran demi menjana keunggulan ummah,” katanya.