BATU PAHAT – Pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) ‘C,’ Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) muncul juara dalam Kejohanan Sepak Takraw UTHM Tigers Cup 2019 selepas menumbangkan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) ‘A’ dalam persaingan yang mendebarkan di peringkat akhir pada 26 April 2019 lalu  bertempat di Dewan Orang Ramai Taman Suria, Ayer Hitam, Johor.

Kejohanan yang disertai oleh 12 regu melibatkan fakulti-fakulti di UTHM ini telah dianjurkan oleh Pasukan Sepak Takraw UTHM Tigers bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemain baru serta meningkatkan kemahiran pemain-pemain senior. Selain itu, kejohanan sukan peringkat dalaman UTHM ini bertujuan memastikan mahasiswa dapat beriadah dan mengukuhkan semangat persaudaraan antara satu sama lain.

Kedua-dua regu FTK menepati ramalan untuk mara ke peringkat akhir, selepas Regu FTK ‘A’ membuktikan kehebatan menewaskan regu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) pada perlawanan peringkat separuh akhir pertama.

Manakala pada separuh akhir kedua, regu FTK C memastikan tiket perlawanan akhir untuk berentap sesama sendiri dengan menumpaskan regu Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) yang telah diwakili oleh Hafiz, Nazirul dan Syazwan.

Perlawanan akhir menyaksikan Pengurus Pasukan FTK, Muhammad Faris Abdul Hadi, menurunkan tekong utama FTK ‘A,’ Anuar Ezaidie manakala Regu FTK C diwakili tekong utama, Muhd Zaki Ithsan.

Regu FTK C yang mendominasi pertandingan berjaya mengenepikan kehebatan Regu FTK A dengan jumlah mata 2-0 sekali gus meraih pingat emas dan perak bagi kejohanan tersebut. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh regu FKAAS dan keempat regu FKMP.

Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan UTHM, Encik Azli Puddin, disaksikan oleh Penasihat dan Jurulatih Pasukan Sepak Takraw UTHM, Encik Mohd Hazrin Rahman dan Encik Abd Halim Kamaluddin.