PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih 10 pingat di Kejohanan Sukan FTK MTUN (KSFM) 2019 yang berlangsung pada 7 April lalu bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Pasukan UTHM berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan lapan gangsa daripada 12 acara yang dipertandingkan seperti badminton campuran, bola jaring, bola tampar, futsal, pingpong campuran dan bola keranjang.

Kontinjen Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) muncul juara keseluruhan kejohanan dengan kutipan pingat sebanyak tujuh emas dan empat perak diikuti dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), UTHM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Turut serta dalam kejohanan ini, wakil dari Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik (BPPA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam acara badminton.

Penerapan semangat kesukanan dan jalinan persaudaraan antara pelajar dan staf FTK dalam Malaysian Technical University Network (MTUN) menjadi teras kepada penganjuran Kejohanan Sukan FTK MTUN (KSFM) 2019 yang diadakan buat kali pertama ini.

FTK UTHM telah diberi kepercayaan sebagai penganjur pertama kejohanan ini dengan bantuan jawatankuasa yang terdiri daripada enam staf, 76 pelajar dari Kelab Pelajar FTK UTHM (ETEC) serta sekumpulan sukarelawan yang diketuai oleh Dr. Nofrizalidris Darlis.

Menurut Dr. Nofrizalidris yang juga Ketua Jawatankuasa Kerja Aktiviti Pelajar dan Staf Majlis Dekan-Dekan FTK MTUN, persiapan penganjuran KSFM ini telah bermula seawal Januari 2019 lagi bagi memastikan kejohanan berjalan lancar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Dekan-Dekan FTK MTUN, Profesor Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff pula berkata penganjuran kejohanan seumpama ini merupakan salah satu wadah yang bertepatan dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara FTK MTUN.

Majlis perasmian penutup kejohanan yang disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Omar, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh ini turut menyaksikan penyerahan bendera kejohanan kepada FTK UTeM sebagai simbolik untuk penganjuran seterusnya.

Hadir sama, Profesor Madya Ts. Amran Mohd Zaid, Dekan FTK UTHM; Profesor Madya Ts. Dr. Umar Al-Amani Hj. Azlan, Dekan FTK Mekanikal dan Pembuatan UTeM; Profesor Madya Ir. Dr. Abu Hassan Abdullah, Dekan FTK UniMAP dan Profesor Madya Ts. Dr. Andri Kusbiantoro, wakil Dekan FTK UMP.