MUAR – Pasukan Mendayung UTHM Barracuda bagi kategori lelaki dan perempuan berjaya memenangi tempat pertama Kejohanan Sukan Mendayung (Rowing) yang berlangsung pada 12 hingga 14 April lalu.

Sungai Muar dijadikan medan perlumbaan pertama peringkat kebangsaan bagi kejohanan sukan yang berkonsepkan “The Boat Race Oxford University vs Cambridge University” ini.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari ini disertai oleh 12 pasukan dari pelbagai persatuan dan kelab mendayung negeri selain penyertaan daripada beberapa universiti tempatan. Menariknya dalam perlumbaan ini, setiap pasukan perlu mendayung sejauh 6.8 kilometer (km) dengan cara melawan arus sungai muar, bermula dari Osyter Bay melintasi jambatan pintasan kedua Muar.

Untuk rekod, kejohanan yang juga dikenali sebagai “1st National Head of Muar River Regatta 2019” ini adalah hasil cetusan idea daripada perlumbaan rowing tertua di dunia antara Universiti Oxford dan Universiti Cambridge pada awal abad ke-19.

Acara sukan mendayung anjuran Pasukan Mendayung Barracuda Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Mendayung Johor (JoRA) dan Persatuan Mendayung Putrajaya selaku teknikal kejohanan.

Menurut Teknikal JoRA, Aliff Halid kejohanan kali pertama ini dengan jarak perlumbaan 6.8 km belum pernah dianjurkan di Malaysia.

“Perlumbaan sejauh ini memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi dan ia amat menguji ketahanan setiap atlet apabila mereka perlu melawan arus sungai” kata Aliff.

“Kejohanan ini merupakan platform untuk mempertingkatkan lagi aras kompetitif sukan mendayung di Malaysia dan penganjuran oleh pihak UTHM menunjukkan bahawa pihak universiti komited melatih pelajar yang bukan sahaja menjadi atlet tapi berupaya menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan.”

“Pihak kami berbangga dengan penganjuran perlumbaan yang julung kali diadakan di Johor dan berharap dapat menarik lebih ramai penaja dari dalam dan luar negara seperti “The Boat Race Oxford University vs Cambridge University.”

“Kerjasama di antara atlet bersama pihak UTHM, Persatuan Mendayung Johor dan Putrajaya dalam penganjuran sebegini perlu diteruskan dalam melahirkan “The Thinking Athlete,” tambah Aliff.