KUALA MUDA – Dua pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih emas dan perak untuk anugerah Tesis Terbaik kategori Sarjana Muda semasa berlangsungnya majlis pelancaran sambutan Hari Air Sedunia 2019 peringkat kebangsaan yang diadakan pada 24 Mac lalu bertempat di Pantai Merdeka.

Dua pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) tersebut berjaya meraih tempat pertama (emas) dan tempat kedua (perak) dalam pertandingan yang dibuka kepada siswazah peringkat sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) di semua institut pengajian tinggi di Malaysia bagi sesi 2017 /2018.

Untuk rekod, anugerah ini juga merupakan pengiktirafan kepada graduan yang telah memperkasakan kajian dalam bidang hidrologi dan sumber air, pembangunan lestari atau pengurusan sumber air bersepadu (IWRM). Pertandingan ini juga diadakan selaras dengan tema Hari Air Sedunia 2019 iaitu ““Leaving No One Behind,” yang memberi fokus kepada pengurusan mapan sumber air tawar.

Chee Ching Hui, pelajar tahun akhir FTK meraih emas melalui kajian bertajuk Desingning A Trash Trap For Drainage” dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai rm750 beserta plak. Menurut penyelia tesis, Nur Aini Mohd Arish@Arshad, kajian ini melibatkan  proses mereka bentuk dan menghasilkan satu perangkap sampah yang boleh digunakan untuk mengumpul pencemaran kasar (gross pollutants) yang terdapat di longkang sebagai peringkat awal pencegahan pencemaran sungai. Perangkap sampah yang dicipta ini boleh dipelbagaikan saiz bagi penyesuaian longkang dengan pelbagai kelebaran dan mempunyai dua tapisan beserta saiz lubang yang berlainan. Perangkap sampah ini juga mempunyai sistem Raspberry Pi untuk membantu pengumpulan sampah dengan menghantar mesej memberitahu pengguna untuk mengumpul sampah yang terperangkap apabila tindakan ini diperlukan.

Sementara itu pelajar FKAAS, Mohamad Fahmi Ibrahim yang mendapat tempat kedua dengan tajuk tesis “Pemetaan Kualiti Air Tasik Kampus UTHM Menggunakan Pesawat UAV Multispectral” turut membawa pulang wang tunai bernilai RM450 serta plak. Penyelia tesis, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad melahirkan rasa bangga kerana kajian yang baharu sahaja diaplikasikan di universiti ini turut mendapat pengiktirafan pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS).

Kajian ini dilakukan untuk memetakan kualiti air di Tasik sekitar UTHM bagi memastikan  kualiti air sentiasa dalam keadaan yang selamat. Oleh itu, Kajian dijalankan dengan melakukan pemetaan empat parameter kualiti air iaitu parameter kekeruhan, suhu, oksigen terlarut dan pH. Pemetaan dilakukan menggunakan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) Multispectral. Analisa kualiti air dilakukan pada tasik kajian seterusnya dipetakan untuk mengetahui status semasa kualiti air tasik di UTHM. Kajian ini juga dilakukan bagi membantu pihak universiti mengetahui status semasa kualiti air tasik sekali gus membantu kerja-kerja kawalan dan penyelenggaraan kualiti air tasik kajian.