Pelajar FAST ke Sabah pelajari sistem pengurusan kepelbagaian biologi dan sumber semulajadi

PAGOH – Menyedari pentingnya pendedahan berkaitan sistem pengurusan kepelbagaian biologi dan sumber semulajadi kepada pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) atau 3BWW, Fakulti Sains Gunaan...
9

PAGOH – Menyedari pentingnya pendedahan berkaitan sistem pengurusan kepelbagaian biologi dan sumber semulajadi kepada pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) atau 3BWW, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan ke Sabah, negeri bawah bayu yang terkenal dengan sistem pengurusan dan pelancongan alam semula jadi yang maju dan mapan.

Program lawatan yang diadakan pada 8 hingga 13 April baru-baru ini melibatkan 36 peserta bersama dua pensyarah selaku pegawai pengiring. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan berdasarkan subjek elektif iaitu Pengurusan Ekosistem, Pelancongan Berasaskan Alam Semulajadi, Warisan Alam Semulajadi dan Sains Herba.

Program Pengajaran dan Pembelajaran (P & P) tahunan anjuran Panel Sumber Semulajadi ini telah diselaraskan oleh Ts. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin dan dibantu oleh Arney Sapaat yang bertindak sebagai pembantu penyelaras dalam usaha memindahkan ilmu pengetahuan, mempromosikan program 3BWW di samping mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan kepelbagaian biologi di Sabah.

Program ini juga bertujuan memberi latihan kepada para pelajar 3BWW dalam penganjuran aktiviti di kampus dengan mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari, membentuk kemahiran insaniah yang diperlukan untuk menghadapi dunia pekerjaan serta memberi pendedahan tentang keunikan budaya Sabah dengan lebih mendalam sebagai nilai tambahan dalam meluaskan lagi pengalaman mereka.

Lawatan ini memberi fokus kepada pendedahan berkaitan sistem pengurusan kepelbagaian biologi dan sumber semulajadi yang terdapat di Sabah. Ini kerana negeri tersebut sering mendapat khidmat rundingan dan kerjasama penyelidikan dengan negara-negara maju seperti Jepun dan United Kingdom yang umumnya mempunyai teknologi terkini dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan kelestarian alam semulajadi.

Di samping itu, para pelajar turut didedahkan dengan pengurusan daratan dan marin di Pulau Manukan dan Hutan Paya Gambut Klias, tapak-tapak warisan dunia seperti Gunung Kinabalu dan Banjaran Crocker serta pelancongan berasaskan alam sekitar, selain mengadakan lawatan ke Kota Kinabalu Wetland Centre, Tagal Kampung Luanti Baru dan Muzium Sabah.

Turut diadakan, sesi perkongsian ilmu UTHM-Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) 2019 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertujuan memberi peluang kepada para pelajar kedua-dua universiti tersebut berkongsi idea berkaitan kajian dan pengurusan kepelbagaian biologi atau biodiversiti yang berkaitan.

Pihak fakulti berharap program mobiliti seumpama ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang dan dapat dijadikan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan visibiliti dan nama baik UTHM, menggalakkan program pertukaran pelajar sama ada inbound mahupun outbound antara UTHM dengan UMS sekali gus mampu meningkatkan jumlah kemasukan pelajar hasil publisiti secara tidak langsung daripada pihak luar yang berkaitan.

Categories
AkademikSains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE