Kumpulan WIRA UTHM juarai pertandingan Pengisahan Kenegaraan KPNJ 2019

MUAR, 18 Apr – Kumpulan WIRA Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Kementerian Penerangan Negeri Johor (KPNJ) 2019 sekali gus melayakkan mereka mewakili negeri Johor...
FB_IMG_1555581398888

MUAR, 18 Apr – Kumpulan WIRA Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Kementerian Penerangan Negeri Johor (KPNJ) 2019 sekali gus melayakkan mereka mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di negeri Perak pada Julai akan datang.

Kumpulan ini membawa karya bertajuk “Tiga Leftenan Yang Tidak Didendang,” dengan skrip dan arahan oleh Staf Pusat Kebudayaan, Rosdi Abdullah. Pengisahan ini melibatkan tiga pelakon iaitu Rosdi, Iskandar Naqiuddin Mohd Hisham, pelajar dari Fakulti Kejuruteraaan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Afiq Rahime Sazali, pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).

Tempat kedua pertandingan ini diraih oleh kumpulan Anak Legasi Kulai yang mewakili daerah Kulai, diikuti Kumpulan Seri Mersing, Mersing di tempat ketiga, manakala Kumpulan Ledang,Tangkak dan Kumpulan Jawahir Kirani, Muar pula mendapat saguhati.

Naskah karya yang dipersembahkan oleh Kumpulan Wira UTHM ini mengisahkan tentang tiga orang askar Melayu yang tidak didendang iaitu Leftenan Ibrahim Alla Ditta, Leftenan Yazid Ahmad dan Leftenan Ali Sharafat yang berhempas pulas menyertai misi menyelamatkan hampir 2,000 anggota Tentera Berikat yang terdiri daripada 15th Indian Briged, 2nd Cambridgeshire, 5th dan 6th Norfolk, 155th field regiment (Pasukan Meriam) dan 2nd Battalion askar Melayu dari D Coy yang terkepung di Pantai Punggur, Rengit, Johor.

Mereka berusaha menyelamatkan tentera Berikat dengan pelbagai ikhtiar seperti menyusup ke kawasan musuh, melakukan penyamaran serta helah agar tentera Jepun tidak terus mara. Dengan bantuan beberapa buah kapal mereka akhirnya berjaya keluar daripada kepungan, tetapi malangnya kesemua kapal yang dinaiki mereka musnah dan tenggelam di lautan ketika tentera udara Jepun menyerang tanpa diduga. Karya ini diceritakan semula dalam pengisahan ini bagi mengingati perjuangan tiga srikandi tersebut.

Menurut Rosdi kini Pertandingan Pengisahan Kenegaraan ini semakin mendapat tempat di mata masyarakat apabila mendapat banyak penyertaan daripada penggiat teater.

“Agak mencabar bila membawa pelajar kejuruteraan bertanding di pentas seni, tetapi para pesertanya telah membuktikan bahawa kejayaan tidak akan datang jika tidak disertai dengan minat dan kesungguhan,akhirnya mereka membawa pulang kejayaan ini untuk mengharumkan lagi nama UTHM,” katanya.

Categories
Anugerah, Pencapaian dan PengiktirafanKesenian dan Kebudayaan

RELATED ARTICLE