PAGOH – Pusat Penyelidikan Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semulajadi (CoR-SUNR) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor bekerjasama mengumpul dan merekod spesimen flora dan fauna yang terdapat di Taman Negara Johor Endau Rompin (TNJER) Kampung Peta pada 7 hingga 10 Mac lalu.

Aktiviti penyelidikan tersebut adalah bagi menjayakan projek MyDNAmark: Nation-wide Genomic Sequencing Project for Malaysian Species yang melibatkan 13 penyelidik dan diselaraskan oleh Ts. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin, pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) merangkap ketua penyelidik untuk unit Biodiversity and Sustainable Development, CoR-SUNR.

Setelah mengumpul dan merekodkan spesimen flora dan fauna tersebut, pihak UTM yang diwakili oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Dr. Faezah Mohd Salleh bertindak menyelaras proses pengambilan tisu daripada spesimen-spesimen terkumpul untuk tujuan analisis DNA.

Hasil analisis DNA tersebut amat penting dalam mewujudkan pangkalan data yang informatif untuk dijadikan pusat rujukan genomik DNA pelbagai spesis flora dan fauna yang terdapat di Malaysia. Selain itu, aplikasi mudah alih berkaitan juga sedang dibangunkan bagi membantu pelaksanaan matlamat Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2016-2025.

Menurut Dr. Kamarul Rahim, walaupun kerja lapangan ini telah berakhir namun kerjasama antara CoR-SUR UTHM dan UTM Skudai masih berjalan sehinggalah objektif-objektif yang dinyatakan berjaya dicapai.

“Pihak CoR-SUR UTHM berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan dapat dijadikan sebagai salah satu usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara UTHM dengan UTM,” katanya.