SYDNEY, 16 Feb – Pasukan SUFECS dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mewakili negara menyertai Imagine Cup Asia Regional Final 2019 anjuran Microsoft telah memenangi People’s Choice Award melalui projek mereka ‘Smart Urban Farming: Automated Environment Control System.’

Anugerah khas ini diraih apabila sistem kawalan persekitaran automatik yang direka khusus untuk tanaman hidroponik berjaya memenangi hati juri dan dipilih oleh lebih dari 2000 pakar Microsoft Technology.

Setiap peserta yang terdiri daripada ratusan pasukan dari 17 negara Asia sebelum ini dikehendaki untuk menyerahkan projek teknologi asli menggunakan perisian Azure tetapi hanya 12 pasukan sahaja yang dipilih untuk ke pertandingan akhir.

Pasukan SUFECS berjaya dipilih sebagai salah satu daripada 12 finalis tersebut sekali gus menuntut ahlinya membuat persediaan rapi sebelum pertandingan.

Untuk rekod, Imagine Cup tajaan Microsoft yang dianjurkan sejak tahun 2003 ini merupakan satu kejohanan teknologi dan inovasi yang terdiri daripada pelajar universiti dan dipertandingkan di setiap benua sebelum berentap di kejohanan dunia.

Menurut ketua pasukan SUFECS, Seah Choon Sen projek ini adalah hasil penyelidikan dan inovasi dua fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM.

“Oleh kerana kawasan bandar tidak mempunyai tanah yang luas untuk bercucuk tanam, pasukan kami mencari satu kaedah yang boleh menggabungkan teknologi terkini dalam pertaniaan agar aktiviti penanaman secara tradisional sebelum ini dapat diperluaskan, selaras dengan revolusi perindustrian 4.0 yang diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya lagi melalui projek ini, SUFECS menggunakan pelbagai teknologi terkini seperti Internet of Things (IoT), pembelajaran mesin serta aplikasi web dan sensor. Dengan SUFECS, petani boleh memantau dan mengawal ladang di mana dan bila-bila masa sahaja dengan pengawalan sistem komputer.