IMG_0763Jabatan Bahasa Antarabangsa (JAB), Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program mobiliti Inbound pelajar universiti dari negara Jepun pada 6 hingga 13 Mac lalu.

Program ini telah disertai oleh empat pelajar dari Kyusyu University, Prefectural University of Kumamoto dan Tokyo University of Science bersama dua staf dari Global Education and Human Exchange Association (GLEEA) iaitu Kono Masaru selaku Penaung dan Chie Nakamura selaku Pengarah.

Menurut Ketua JAB, Nurul Sabrina Zan program ini turut dibantu oleh 40 orang pelajar UTHM yang mengambil kursus elektif Bahasa Jepun.

IMG_0721Tambahnya para pelajar tersebut telah menjayakan pelbagai aktiviti berunsurkan kebudayaan Jepun dan Malaysia sepanjang lapan hari program berlangsung. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mempraktikkan Bahasa Jepun yang dipelajari dan mengambil peluang untuk berinteraksi bersama penutur jati negara Jepun terbabit.

Program mobiliti tersebut diisi dengan lawatan sambil belajar ke bandar Muar dan Batu Pahat, lawatan ke perkampungan orang asli suku kaum Kanaq di Kota Tinggi selain para pesertanya turut mengikuti kelas seni khat, kelas Bahasa Inggeris dan juga Sepanyol.

DSC_6665“Keunikan budaya dan keramahan penduduk di negara ini ternyata mampu menarik minat para pelajar dari negara matahari terbit itu untuk mendalami lagi budaya masyarakat tempatan.

“Kesemua peserta yang terlibat memberi komitmen dan kerjasama yang sangat baik dalam melancarkan lagi perjalanan program. Justeru, pihak kami amat berharap program kerjasama seumpama ini mampu memberi manfaat dan mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun,” katanya lagi.