bakau 4PONTIAN – Seramai 75 pelajar dan lapan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berganding bahu memerah keringat menanam 1000 benih bakau di pesisiran Pantai Rimba Terjun pada 12 Mac lalu.

Program anjuran Micropollutant Research Centre (MPRC) dan Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, FKAAS dengan kerjasama Jabatan Hutan Daerah Johor Selatan ini diadakan sempena berlangsungnya program ‘Let’s Clean Go Green 2019’ dan ‘Hari Hutan Sedunia.’

Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk memulihara hutan bakau yang bertindak sebagai pelindung semula jadi daripada ribut dan ombak yang menghakis pantai serta membantu menangani ketidakseimbangan karbon dioksida dalam atmosfera.

bakau 1Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, FKAAS, Dr. Rafidah Hamdan hutan paya bakau adalah tempat pembiakan dan perlindungan hidupan hasil laut selain berperanan sebagai penghadang untuk mengelakkan kejadian hakisan.

“Pemuliharaan hutan bakau perlu dilakukan secara berterusan dan perlu melibatkan kerjasama ramai pihak untuk menjayakannya.

“Justeru itu, pihak kami mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti ini dengan melibatkan kerjasama 10 kakitangan Jabatan Hutan Daerah Johor Selatan.

“Pihak kami juga akan berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai dengan memberi sumbangan idea dan tenaga secara aktif kepada pemuliharaan pokok bakau di daerah ini,” katanya.

bakau 2Tambah beliau lagi, pihak universiti amat berharap masyarakat lebih bertanggungjawab dan bersungguh dalam menjaga kebersihan persisiran pantai daripada terdedah kepada pencemaran.

“Pihak kami juga berharap melalui aktiviti penanaman benih bakau seperti ini, kesedaran generasi muda khususnya sukarelawan UTHM dapat ditingkatkan lagi sekali gus mampu mendorong mereka untuk meneruskan lagi usaha murni seperti ini,” katanya mengakhiri perbualan.