UTHM galas peranan sebagai Pusat Sukan Tumpuan Silat IPT

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Pusat Sukan Tumpuan Silat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada tahun 2010 sehingga kini bagi menjalankan...
silat tumpuan

silat tumpuan 3Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Pusat Sukan Tumpuan Silat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada tahun 2010 sehingga kini bagi menjalankan aktiviti pembangunan dan kecemerlangan sukan silat di peringkat IPT Malaysia secara terancang.

Lantikan itu dibuat ketika berlangsungnya majlis pelancaran yang telah diadakan pada 20 Mac 2010 lalu bertempat di The Zon Regency, Johor Bahru. Universiti ini bertanggungjawab menguruskan program seperti penyediaan latihan pasukan, penganjuran dan penyertaan kejohanan, penyediaan kemudahan dan peralatan sukan serta program-program pembangunan kejurulatihan dan kepegawaian seperti kursus kejurulatihan, bengkel wasit juri meliputi teknikal dan pertandingan. Siri lawatan dan pameran juga turut dijalankan bagi mempromosikan sukan silat ini di pelbagai peringkat.

silat tumpuan 4Pemilihan UTHM ini adalah berdasarkan kepada kemudahan yang sedia ada di IPT dan juga kekuatan sumber manusia seperti tenaga kepakaran, kejurulatihan, kepegawaian dan pengurusan tertinggi universiti yang sentiasa bersama-sama membantu dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai sebuah Pusat Sukan Tumpuan Silat IPT ini. Pelbagai perancangan dan strategi telah dirancang dan disusun oleh KPM seperti yang telah digariskan dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang bertujuan untuk melahirkan “The Thinking Athlete” dengan mensasarkan 30 peratus atlet negara terdiri daripada atlet IPT.

Bagi merealisasikan program pembangunan ini secara terancang dan mencapai matlamatnya, beberapa perkara utama telah pun dijalankan oleh Pusat Sukan UTHM. Pengumpulan maklumat dan data atlet daripada setiap IPT sentiasa direkod dan dikemaskini bagi memastikan tiadanya keciciran atlet dalam program pembangunan sukan silat ini.

Selain itu, bagi memastikan aspek fizikal, teknikal, taktikal dan psikologikal dapat dijalankan secara berkesan, maka keperluan lantikan jurulatih adalah yang utama bagi memastikan pencapaian pasukan berada dalam kedudukan yang baik. Jurulatih akan merangka pelan pembangunan atlet berdasarkan kepada keperluan pasukan serta sasaran yang perlu dicapai di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara latihan yang telah dijalankan oleh Pusat Sukan UTHM yang berperanan sebagai penggerak Pusat Sukan Tumpuan Silat IPT adalah seperti latihan pusat pasukan Malaysia dalam Asean University Games (AUG) serta lain-lain kejohanan jemputan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penganjuran Kejohanan Silat Antarabangsa UTHM yang telah memasuki edisi ke sembilan berjaya menghasilkan mutu penganjuran yang terbaik. Penyertaan daripada negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Singapura, Yaman, Jepun, Belanda, Uzbekistan, Timur Leste, India, Bangladesh dan Brunei ini secara langsung telah menghimpunkan pesilat-pesilat terbaik untuk berentap di kejohanan berprestij ini.

silat tumpuan 2Bagi memperkasakan lagi peranan Pusat Sukan Tumpuan Silat ini, satu majlis menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) telah diadakan di antara UTHM dengan Persekutuan Silat Melayu Nederland. Ianya merupakan salah usaha bagi merancakkan lagi pembangunan silat di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Pusat Sukan juga telah mengenalpasti sekolah-sekolah yang bergiat aktif dalam sukan silat di negeri Johor. Bagi memastikan pembangunan sukan ini dapat dijalankan dengan lebih luas lagi, pendekatan ‘sekolah angkat’ akan dilaksanakan dalam mewujudkan kerjasama dan perkongsian kepakaran latihan dan kejurulatihan kepada komuniti.

Pusat Sukan UTHM khususnya dan UTHM amnya berharap usaha ini mampu meningkatkan agenda pembangunan sukan IPT seperti yang terkandung dalam DPSIPT untuk melahirkan ″The Thinking Athlete″ seterusnya melahirkan 30 peratus atlet negara adalah daripada atlet IPT. Jika suatu masa dahulu, IPT dikenali sebagai ″kubur atlet″ tapi kini IPT bangkit dengan segala perancangan dalam pembangunan sukan yang lebih strategik dan terancang.

Categories
Sukan

RELATED ARTICLE