Penarafan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam Webometrics pada Januari 2019 terus melonjak naik apabila berjaya menduduki tempat kedua daripada 305 institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia yang dinilai bagi kriteria Presence Rank.

Pencapaian ini seterusnya meletakkan nama UTHM di ranking ke 1551 peringkat IPT dunia dan di kedudukan yang ke sembilan untuk ranking Malaysia.

Untuk rekod, UTHM sebelum ini pernah berada di kedudukan ‘top 10’ dengan pencapaian tertingginya di kedudukan ke tujuh pada Januari 2015 dalam ranking Malaysia. Setelah mengalami sedikit kejatuhan pada tahun berikutnya, kini universiti ini mula bangun kembali memperkukuhkan kedudukannya dengan menambah baik sistem dan perkhidmatan sedia ada.

Penarafan Webometrics merupakan sistem penarafan akademik IPT  yang dijalankan sebanyak dua kali setahun oleh Cybermetric Lab iaitu sebuah kumpulan penyelidik terbesar dari Sepanyol (Scimago). Penilaian yang dibuat dipecahkan kepada beberapa kriteria iaitu Presence, Impact, Openness dan Excellence.

Kriteria Presence dinilai berdasarkan saiz atau jumlah bilangan laman web yang dilayari oleh enjin carian Google, Impact pula dinilai melalui pautan masuk yang diterima oleh Majestic SEO dan ahrefs. Manakala Opennes dinilai mengikut kepelbagaian jenis fail seperti pdf., doc., docx., ppt., pptx. yang terdapat di Google Scholar dan Excellence pula dinilai berdasarkan jumlah penulisan ilmiah yang diterbitkan oleh High Impact International Journal. Info lanjut layari (http://www.webometrics.info).

Penarafan Webometrics ini merupakan pengiktirafan dunia terhadap penulisan serta penerbitan ilmiah dan saintifik yang dihasilkan oleh sesebuah institusi. Kejayaan UTHM dalam penarafan ini melambangkan usaha gigih dan komitmen yang berterusan warga kerjanya untuk terus maju dan berdaya saing.