logo kempenPepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” menjadi paksi utama kepada kempen “Sayangi UTHM” yang dilancarkan semasa berlangsungnya Majlis Perutusan Naib Canselor 2019 di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini.

Kempen “Sayangi UTHM” pimpinan Persatuan Pentadbir dan Pegawai Ikhtisas UTHM (PENTAS) yang digerakkan bersama dengan persatuan-persatuan yang bernaung di bawah Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ini dilaksanakan bertujuan untuk menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan staf di universiti ini.

Pelaksanaan kempen ini memberi ruang dan peluang kepada semua staf untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja amal berimpak tinggi dengan memilih sekurang-kurangnya satu daripada lima kluster yang diperkenalkan iaitu Kluster Prihatin Umah, Kluster Kampus Ceria, Kluster Alam Lestari, Kluster Pesan Sejahtera dan Kluster Do It Ringgit.

Setiap staf tanpa mengira pangkat atau gred perkhidmatan boleh memilih salah satu kluster tersebut yang bersesuaian dengan minat dan kecenderungan masing-masing. Kluster Prihatin Ummah memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti kesukarelawan dan bantuan bencana, Kluster Kampus Ceria merujuk kepada aktiviti gotong royong penyelenggaraan dan keindahan kampus, Kluster Alam Lestari pula untuk mewujudkan kampus hijau dan lestari, Kluster Pesan Sejahtera untuk menyebar luas mesej-mesej positif secara berterusan kepada warga universiti dan Kluster Do It Ringgit pula untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti keusahawanan bagi mendapatkan dana untuk pengurusan kempen ini.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly berkata UTHM kini sedaya upaya cuba bergerak ke hadapan dengan sumber kewangan dan tenaga kerja yang begitu terhad.

Menurutnya dengan kos operasi dan emolumen yang semakin meningkat, universiti terpaksa mengoptimumkan sumber dengan kreatif dan sebaik mungkin.

Justeru itu beliau menyeru kepada semua warga kampus untuk memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada kempen ini bagi membantu meringankan beban yang ditanggung universiti, di samping memupuk rasa tanggungjawab dan sayang terhadap universiti yang sudah mencecah usia 25 tahun penubuhannya.

Naib Canselor juga mencadangkan agar, setiap staf dapat membuat sumbangan kepada tabung kempen ini melalui potongan gaji bulanan sebanyak RM1 yang akan dimasukkan ke Tabung Kelab Staf UTHM (KSUTHM). Tambahnya lagi sebagai tanda penghargaan, pihak universiti juga bersetuju penyertaan dan penglibatan staf dalam kempen ini diambil kira secara khusus dalam penilaian prestasi tahunan staf.

Sayangi UTHM dan sumbanglah seikhlas hati kepada universiti yang kita cintai ini dan syabas kepada pihak PENTAS yang mengusulkan inisiatif ini serta semua persatuan lain iaitu Kelab Staf UTHM (KSUTHM), Persatuan Pensyarah dan Pengajar UTHM (PERKASA) dan Kesatuan Kakitangan Pelaksana UTHM (KKP) yang memberi sokongan padu dalam menjayakan usaha murni ini,” katanya.