pengiktirafan tandas bersih1IPOH, 26 Jan –  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) berjaya mendapat pengiktirafan tempat ketiga Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan 2019, kategori Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S).

Tandas yang mewakili UTHM adalah tandas (L) dan (W), aras 1, blok Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), kampus induk. Ini adalah penyertaan kali pertama UTHM bersempena Hari Tandas Sedunia yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Tempat pertama bagi kategori tersebut diraih oleh tandas Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Johor manakala tempat kedua pula disandang oleh tandas Politeknik Merlimau di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Jasin, Melaka.

Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih (PTAB) 2019 merupakan salah satu pengisian di bawah Kempen Tandas Bersih yang dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan.

Untuk rekod pertandingan ini mula dilaksanakan pada tahun 2010 dan diteruskan pada setiap tahun kerana jumlah penyertaannya kian meningkat. Ini juga merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti kebersihan tandas-tandas awam di negara ini.

Selain itu, pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilik-pemilik tandas awam di atas usaha dan inisiatif mereka dalam mewujudkan tandas-tandas yang bersih dan selesa untuk kegunaan orang awam.

Untuk penganjuran tahun ini, sebanyak 12 kategori telah dipertandingkan. Kriteria utama yang dinilai oleh panel pertandingan adalah dari aspek kebersihan secara keseluruhan yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Star Rating Kebersihan Tandas Kegunaan Awam di kawasan PBT.

Para pemenang tersebut akan menjadi contoh atau model kepada PBT lain dan juga operator-operator tandas awan di seluruh Malaysia.