Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat rekod tersendiri apabila menduduki tangga ke-479 dalam penarafan Matrik Hijau Universiti Dunia 2018 (GreenMetric World University Rankings).

Daripada 719 universiti dunia yang tersenarai, UTHM telah menduduki tangga ke-479 dan menjadikanya di kedudukan ke-14 dalam kalangan universiti-universiti di Malaysia.

Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Rektor Universiti Indonesia (UI), Profesor Dr. Ir. Muhammad Anis pada 19 Disember 2018 lalu. Sejumlah 18 universiti di Malaysia telah mengambil bahagian dalam penilaian meliputi sektor awam dan swasta, dengan keputusan di kedudukan 32 hingga 687.

Matrik Hijau Universiti Dunia merupakan satu-satunya sistem penarafan yang mengukur kedudukan setiap universiti di dunia dalam membangunkan infrastruktur ‘mesra alam’. Penarafan ini melihat kepada enam indikator utama iaitu penetapan dan infrastruktur, tenaga dan perubahan iklim, sisa, air, pengangkutan dan pendidikan. Pada tahun ini, 719 universiti daripada 81 buah negara telah mengambil bahagian, berbanding 619 universiti pada tahun sebelumnya dengan jumlah 75 buah negara. Beberapa negara baru turut menyertai penarafan tahun ini iaitu Belgium, Bulgaria, Costa Rica, Croasia dan Malta.

Enam buah universiti di Malaysia berada di kedudukan 100 teratas, dengan UPM (32) diikuti oleh UM (36), UTM (70), UMS (71), UUM (76), dan UMP (97). Tiga universiti lain berada di kedudukan 200 teratas, iaitu UTAR (146), UTEM (148) dan UKM (198). Manakala yang lain ialah USM (225), JPPM (335), UNIMAP (338) dan UMT (370).

Sementara itu, universiti lain yang berada dalam kedudukan 700 teratas ialah UIAM (505), USIM (606), Politeknik Mersing (634) dan UPSI (687). Universiti Penyelidikan Wageningen, Belanda menduduki tempat pertama di dunia, diikuti oleh Universiti Nottingham, UK tempat kedua dan Universiti California, Davis, Amerika Syarikat tempat ketiga. Di Indonesia pula, Universitas Indonesia (UI) menduduki tempat pertama yang meletakkan universiti tersebut berada pada kedudukan ke-27 dunia.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua UTHM menyertai penarafan ini yang telah diterajui oleh Unit Kampus Lestari (SCU) iaitu sebuah unit di bawah Pejabat Canselori sejak tahun 2017.