Pasukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) A telah meraih naib juara kategori institut pengajian tinggi (IPT) lelaki pada Kejohanan Pesta Hoki Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) kali ke-45 yang berlangsung pada 30 November hingga 2 Disember lalu.

Pada perlawanan akhir yang telah berlangsung di padang hoki USM, pasukan UTHM A tewas 0-1 kepada pasukan USM A dan terus dinobatkan sebagai Naib Juara.

Pasukan ini turut melakar kejayaan tersendiri apabila pemain penyerang, Mohamad Fariez Abd Satar yang telah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan diumumkan sebagai pemenang Anugerah Penjaring Terbanyak bagi kategori yang ditandingi.

Sebanyak 250 pasukan bertanding dalam edisi ke-45 ini untuk merebut kejuaraan dalam 12 kategori yang dipertandingkan.

Pasukan UTHM telah menghantar penyertaan dua pasukan terdiri daripada pelajar-pelajar UTHM di bawah pimpinan Ketua Jurulatih, Muhammad Najib Yaakup serta dibantu oleh Mohd Azlan Norman.

Menurut Muhammad Najib, ini merupakan penyertaan sulung pasukan UTHM dalam kategori IPT.

“Meraih Naib Juara pada kejohanan ini telah menyuntik semangat pasukan untuk terus menyertai pelbagai kejohanan selepas ini, sekali gus mampu meraih gelaran Juara dan menjadi pasukan IPT yang disegani umum,” katanya.