UTHM dekati masyarakat melalui khidmat komuniti dan knowledge transfer

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat dan Knowledge Transfer UTHM-Mukim Machap dengan Kerjasama Parlimen Simpang Renggam pada 13 hingga...
C43I1038

C43I1013Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat dan Knowledge Transfer UTHM-Mukim Machap dengan Kerjasama Parlimen Simpang Renggam pada 13 hingga 15 Disember lalu.

Penganjuran program yang melibatkan pelajar UTHM dan juga komuniti setempat ini merupakan salah satu usaha yang dirancang oleh pihak universiti bagi memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly sebanyak lapan projek khidmat masyarakat dan lapan projek knowledge transfer telah dilaksanakan melibatkan enam kampung di Mukim Machap iaitu Kampung Perak, Kampung Seri Maju Jaya, Kampung Setia Jaya, Kampung Isnin Maarof, Kampung Sungai Linau dan Kampung Parit Ghani. Seramai 120 pelajar universiti yang mengganggotai badan-badan uniform iaitu PALAPES, SUKSIS, SISPA, SISKOR, Kelanasiswa, Pandu Puteri dan Bulan Sabit Merah Malaysia komited menyertai program yang berkonsepkan khidmat komuniti ini.

Menurut beliau lagi, pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya penyerahan 39 pelajar UTHM kepada 28 keluarga angkat di enam kampung terbabit dan aktiviti gotong royong seperti di kawasan sekolah, masjid, surau dan tadika bersama penduduk kampung. Selain itu, dengan tema “We Care We Serve” Pusat Kesihatan Universiti juga turut sama menunjukkan keprihatinannya dengan menawarkan khidmat rawatan secara percuma kepada penduduk kampung.

Turut diadakan, aktiviti Knowledge Transfer seperti program Kempen Keselamatan Jalan Raya-Kidsafe, Bengkel Penghasilan Baja Kompos, Bengkel Gubahan Hiasan Kek, Klinik Silat dan Mendayung, Kursus Pensijilan Halal/Persijilan MESTI, Bengkel Healthy Process Food, Kursus Jurutera Cilik dan Technology Drone 3D Scanning khusus untuk penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Kesemua aktiviti tersebut dijalankan secara percuma kepada masyarakat kampung sekitar mukim Machap ini dengan harapan penganjuran program ini dapat merapatkan lagi hubungan antara UTHM dan komuniti setempat bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, prihatin dan saling bantu membantu,” katanya ketika berucap.

Dr Maszlee menyempurnakan upacara perasmianSementara itu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup program yang diadakan pada 15 Disember lalu. Manakala perasmian pembukaan pula telah disempurnakan oleh wakil rasmi Pegawai Daerah Kluang, Mohd. Amin Kadiman.

Dr. Maszlee dalam ucapannya turut menyokong inisiatif yang diambil oleh universiti ini dan berharap pihak UTHM dapat meneruskan lagi usaha sebegini selepas ini bagi memperkukuhkan lagi peranan universiti ke arah merealisasikan kampung berilmu demi manfaat bersama.

“Saya amat menyokong aktiviti pemindahan ilmu yang dilaksanakan UTHM ini demi membantu masyarakat untuk lebih maju ke hadapan sekali gus dapat meningkatkan lagi kadar celik huruf di negara ini,” tambahnya lagi.

Hadir sama ke program tersebut Provost UTHM kampus cawangan Pagoh, Profesor Dato Dr. Abdul Razak Haji Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad; Penghulu Mukim Machap, Ahmad Farhan Abu Bakar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program peringkat Mukim dan Ketua Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM, Hawa Omar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program peringkat UTHM.

 

 

Categories
Hal Ehwal PelajarSosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE