JOHOR BAHRU – Sekteriat Rakan Muda (SRM) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Majlis Makan Malam pada 12 Disember lalu bertempat Hotel Grand Blue Wave bagi meraikan kejayaan Majlis Tertinggi 2018 dalam menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun ini.

Untuk rekod SRM UTHM telah berjaya melaksanakan 20 program sepanjang tahun 2018, antaranya Projek Baju Raya Untuk Anak-anak Yatim, iCare SRM UTHM 2018, aktiviti Pendakian Tujuh Gunung dan Jelajah IPT. Program-program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari peserta dan masyarakat yang terlibat.

Majlis makan malam tersebut turut menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi yang baharu kepada Nur Aida Syahirah Zulkifli bagi menggantikan Riska Mustakim Marzuki, yang menjawat jawatan tersebut sebelum ini.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Abd Aziz Abd Rahman hadir menyempurnakan majlis makan malam tersebut. Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Wardah Husin dan Rosdi Abdullah selaku Penasihat Sektariat Rakan Muda UTHM.

Menurut Abd Aziz kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh SRM UTHM membuktikan Sekretariat Rakan Muda institut pengajian tinggi (IPT) masih releven dan diterima oleh remaja. Malah katanya pihak pembangunan Rakan Muda juga sedang dalam proses penjenamaan semula Rakan Muda dan Sekretariat Rakan Muda IPT ini bagi tahun 2019.

Manakala Rosdi pula berkata Kelab SRM UTHM semakin aktif melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang berimpak tinggi untuk manfaat bersama.

“Perubahan positif kelab SRM UTHM ini memperlihatkan remaja IPT sangat mengemari aktiviti lasak dan mereka amat sukakan cabaran. Usaha seumpama itu diharap dapat diteruskan lagi oleh kelab ini sekali gus mampu mencipta pelbagai kejayaan pada tahun akan datang.”

“SRM UTHM 2018 juga sebelum ini telah mengharumkan nama UTHM di peringkat IPT kerana menjadi kelab Sekretariat Rakan Muda yang paling aktif. Kejayaan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada Majlis Tertinggi 2019 untuk terus aktif dan menjadikan SRM UTHM antara kelab yang disegani dan menjadi kebanggaan universiti,” tambah beliau lagi.