2BATU PAHAT – Sekretariat Perpaduan Biro Kebudayaan Tiong Hua Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Pesta Tiong Hua 2018 (PTH) yang diadakan pada 24 November lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Penganjuran pesta ini telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM12,000 hasil usaha keras ahli-ahlinya yang komited. Dana kebajikan ini akan disalurkan kepada Persatuan Orang Pekak Johor serta Pusat Haemodialisis Rotary Batu Pahat.

Upacara perasmian pesta ini telah disempurnakan oleh YB Gan Peck Cheng, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Johor.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UTHM, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad; Guru Penasihat Sekretariat Perpaduan Biro Kebudayaan Tiong Hua UTHM, Dr. Kek Sie Long dan Pengerusi Sekretariat Perpaduan Biro Kebudayaan Tiong Hua UTHM, Teo Kiat Soon.

3Menurut Pengerusi PTH 2018, Tang Say Chun program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan serta memupuk persefahaman dalam kalangan ahli Tiong Hua UTHM serta warga kampus melalui aktiviti seni dan kebudayaan iaitu persembahan teater.

“Persembahan teater fizikal ‘Inner Voices’ yang dianjurkan ini mendapat sambutan hangat apabila menerima kehadiran kira-kira 1800 penonton yang terdiri daripada pelajar UTHM serta masyarakat setempat,” jelasnya.

Menurut Chun lagi persembahan teater ini mengisahkan tentang manusia yang menggunakan bahasa yang berlainan untuk berkomunikasi, tetapi ironinya mereka tidak memahami antara satu sama lain.

“Menariknya teater ini telah memecah konsep tradisional persembahan pentas dalam kalangan universiti tempatan di Malaysia apabila menggabungkan bunyi, muzik, bentuk fizikal, imej, teks dan simbol sekali gus dalam satu persembahan,” tambahnya lagi.