Kumpulan Inovatif dan Kreatif Renaissance dari Pusat Kesihatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai Dr. Kamariah Rahmat selaku Ketua Kontijen telah berjaya menerima penarafan Emas melalui projek “Blood Taking Kit” ketika menyertai Temu Karya Mutu dan Produktivitas Indonesia (TKMPN) XXII dan International Quality and Productivity Convention (IQPC) 2018.

Konvensyen anjuran pihak PT Wahana Kendali Mutu (Quality Management Consultant) dengan kerjasama Asosiasi Manajemen Mutu dan Produktivitas Indonesia (AMMPI) ini diadakan pada 27 hingga 30 November lalu bertempat di Harmoni One Hotel and Convention, Batam.

Untuk rekod, Konvensyen TKMPN & IQPC yang diadakan pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya melibatkan penarafan Diamond, Platinum, Emas, Silver dan Bronze.

Sebanyak 54 projek inovatif dan kreatif yang disertai oleh kumpulan daripada Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura dipertandingkan pada konvensyen yang disertai oleh 2058 peserta ini. Pasukan Malaysia telah menghantar sebanyak 25 kumpulan yang terdiri daripada pelbagai sektor awam dan swasta.

Kumpulan Renaissance dianggotai oleh Faizah Masnin selaku ketua kumpulan , Dr. Maizatulakmal Pathor Rahman, Dr. Muhammad Hafizul Amin Jimaain, Hartini Shafii, Nor Saleha Md. Ali, Faridah Atan, Juli Nazira Panior, Sharifah Shahirah Syed Abdul Aziz, Zaharah Reduan dan Dr. Zulkifli Taat selaku Fasilitor kumpulan.