ppd 2PAGOH – Seramai 156 orang pelajar dari Jabatan Teknologi Maklumat (JTM),Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Program Corporate Social Resposibility (CSR) “Technologist at School” bersama pelajar-pelajar tadika dan sekolah rendah sekitar Pagoh secara berperingkat selama empat hari berturut-turut bermula 14 hingga 20 November lalu melibatkan 14 lokasi berbeza.

Program anjuran JTM ini dirancang sebagai sebahagian daripada kursus Pengenalan kepada Teknologi Maklumat dan Pengenalan kepada Multimedia bagi pelajar tahun satu. Penganjurannya bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar UTHM berinteraksi dengan masyarakat luar kampus terutamanya melalui perkongsian ilmu.

Program ini juga diadakan bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar mempelajari penerapan konsep pembelajaran sepanjang hayat yang dapat diguna pakai di luar kuliah kepada masyarakat setempat dengan penggunaan teknologi kepada pelajar tadika dan sekolah rendah.ppd 1

Pelbagai aktiviti yang berbeza dilaksanakan di setiap lokasi antaranya penggunaan pelbagai teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran, pengajaran terhadap elemen multimedia serta pengenalan dan pengendalian terhadap teknologi maya bersesuaian dengan tema “Technologist at School”.

Perlaksanaan program ini mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pihak sekolah yang terlibat kerana mereka mahukan kesedaran tentang penerapan ilmu dalam kalangan pelajar sekolah agar lebih bermotivasi dalam mencapai cita-cita.

Menurut Penasihat Program, Shelena Soosay Nathan yang juga Pensyarah PPD, program komuniti sebegini harus diteruskan bagi memperluaskan lagi peranan mahasiswa dan mahasiswi dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada pelajar sekolah dan juga penduduk setempat.

“Penganjuran program seumpama ini mampu memberi mereka pengalaman mengurus program dan ruang untuk berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat sebagai latihan dalam memantapkan lagi kemahiran insaniah dan keyakinan diri untuk berhadapan dengan cabaran dunia pekerjaan sebenar,” katanya.