PARIT RAJA – Bagi mengumpul dana untuk membantu pelarian Rohingga, Technology Management and Business Club (TMB), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan larian amal Superhero Run (Charity For Rohingya) yang diadakan pada 17 November lalu di perkarangan Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk.

Tujuan utama larian ini dianjurkan adalah untuk memupuk budaya sihat dalam kalangan warga merangkumi cergas fizikal dan cerdas minda selain menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sambil menderma. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila mendapat penyertaan seramai 450 orang peserta terdiri daripada pelajar dan staf UTHM serta orang awam.

Menariknya, program larian amal ini turut mendapat penajaan daripada pihak luar seperti AZS Resource, Arnoura Network, Mobile Fiesta, Kluang Mall, Ailyqairy Empire, Masseter Medal dan orang perseorangan, Dr. Kamaluddin Bilal.

Menurut Mantan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Md Asrul Nasid Masrom di samping dapat meningkatkan stamina, larian amal ini berupaya mendidik pelajar tidak kira bangsa atau agama untuk turut sama beramal.

“Program ini berjaya mendorong mereka menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan kerana setiap RM1 daripada yuran penyertaan peserta dimasukkan ke tabung sumbangan Rohingya, menjadikan kutipan keseluruhan berjumlah RM450,” katanya.

Sementara itu satu tabung dana bergerak juga turut diedarkan oleh ahli jawatankuasa TMB kepada pelajar dan pensyarah fakulti dan mencatat kutipan sebanyak RM780.

“Jumlah keseluruhan sebanyak RM1230 telah diserahkan secara rasmi ketika berlangsungnya Majlis Penutupan Karnival Sukan Perdana dan Jom Sihat FPTP (KASPER) 2.0 yang diadakan pada 17 November lalu,” tambahnya lagi.

Upacara pelepasan larian sejauh lima kilometer ini telah disempurnakan oleh Dekan FPTP, Profesor Madya Dr Mohd Lizam Mohd Diah.

Hadir sama Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr. Mohd Yamani Yahya dan Pemangku Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Dr. Khadijah Md Ariffin.