PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan International Conference on Biodiversity 2018 (ICB2018) yang bertemakan “Biodiversiti melangkaui sempadan” pada 11 hingga 13 November lalu di UTHM Hub Pendidikan Tinggi Pagoh. Persidangan ini dianjurkan dengan kerjasama Universitas Gadjah Mada (UGM) Indonesia, Perbadanan Taman Negara Johor serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Semulajadi (KATS).

Untuk rekod, ICB2018 merupakan persidangan kali kedua yang dianjurkan oleh UTHM, yang mana persidangan pertama telah dianjurkan pada tahun 2015 di kampus induk Parit Raja, Batu Pahat.

Dr. Khairul Naim Adham dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Semulajadi telah menyempurnakan majlis perasmian ICB2018. Hadir sama, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM, Profesor Madya Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa; Dekan Fakultas Biologi UGM, Dr. Budi Setiadi Daryono; Ketua Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi UTHM, Professor Emeritus Datin Dr. Maryati Mohamed serta ratusan penyelidik, pelajar dan pembentang kertas kerja bagi persidangan ini.

Dr. Khairul dalam ucapannya menyatakan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menandatangani dan meratifikasi Convention on Biological Diversity selain bertanggungjawab untuk membangunkan strategi nasional, pelan dan program dengan mengambil kira aspek konservasi dan penggunaan mapan sumber dan kepelbagaian biologi.

Beliau juga berkata bahawa biodiversiti itu sendiri adalah kehidupan, dan kehilangan biodiversiti ini tidak seharusnya dikaitkan dengan sempadan geografi, budaya dan politik.

Menyedari keluasan dimensi yang wujud di dalam usaha memulihara kepelbagaian biologi, persidangan ini telah membahagikan pembentangan kepada lapan tema yang berbeza, di antaranya evolusi dan sistematik, ekologi dan pemuliharaan, biologi struktur dan fungsi, biomedik dan produk bioaktif semulajadi, biologi molekul dan bioteknologi, penguatkuasaan di dalam pemuliharaan, pembangunan produk dan pengkomersialan.

Persidangan ini turut menjemput tiga orang pengucaptama yang merupakan penyelidik bertaraf dunia iaitu Profesor Dr. Menno Schuiltuzen dari NATURALIS Biodiversity Centre, Netherlands, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Tajuddin Abdullah dari Universiti Malaysia Terengganu dan Pengerusi ICB 2018, Professor Emeritus Datin Dr. Maryati. Beberapa pakar jemputan juga dijemput bagi menyampaikan syarahan antaranya delegasi dari Universiti Gajah Mada (UGM), Dr. Budi Setiadi Daryono, Dr. Rina Sri Kasiam dan Dr. Eko Agus Suyono dan juga dari wakil dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) iaitu Dr. Maizatun Mustafa.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim turut hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan persidangan berkenaan.

Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa pemuliharaan biodiversiti ini seharusnya merentas sempadan geografi dan politik, dan menjadi satu bidang teras yang perlu dijaga kerana ia merupakan tanggungjawab manusia untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.