Pengarah Urusan merangkap Timbalan Presiden Altera Corporation (M) Sdn. Bhd, Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman telah dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuat kuasa 1 November 2018 sehingga 31 Oktober 2021. Pelantikan Dato’ Dr. Mohd Sofi sebagai Pengerusi ini adalah bagi menggantikan Tan Sri Dato’ Sri Sufri Mohd Zin yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Dato’ Dr. Mohd Sofi memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan dari University of Strathclyde, Scotland dan berpengalaman luas dalam sektor industri serta aktif dalam perkara berkaitan kerjasama institusi pendidikan-industri.

Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah MIMOS Semi Conductor (M) Sdn. Bhd. Mengimbau sejarah sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selain pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, UTHM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi LPU, Tan Sri Dato’ Sri Sufri di atas khidmat baktinya kepada UTHM sejak tahun 2011 dengan jawatan sebagai Ahli LPU bagi wakil swasta.

Pihak universiti turut merakamkan rasa terima kasih kepada Ahli LPU, Datuk Mat Noor Nawi yang telah menjalankan fungsi sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, berkuatkuasa 1 Ogos lalu sehingga 31 Oktober 2018 ini.

Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly serta seluruh warga UTHM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini.

UTHM berharap pelantikan yang baharu ini diharap mampu menyumbang dan membawa UTHM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.