DSC_4021Pertandingan Akhir Paperplane Peringkat Negeri Johor 2018 anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 18 November lalu mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima penyertaan daripada 40 buah sekolah melibatkan tujuh daerah sekitar negeri Johor.

Pertandingan anjuran Kelab Aeronautik dan Jabatan Kejuruteraan Aeronautik ini turut melibatkan kerjasama daripada beberapa pihak iaitu Kelab Rakan Udara Malaysia (KRUM), Malaysian Aviation Academy (MATA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan menguji kebijaksanaan dan kreativiti peserta melalui dua kategori iaitu Longest Range iaitu pertandingan yang mengikut trek dan dikira berdasarkan pendaratan paling jauh di dalam runway dan Time Aloft pula melibatkan lontaran secara bebas dan pemenang dikira berdasarkan masa penerbangan paling lama.

Terdahulu, para peserta perlu menghasilkan pesawat daripada sehelai kertas mengikut peraturan antarabangsa yang dibangunkan oleh Paper Aircraft  Association, iaitu menggunakan kertas berformat A4 yang tidak melebihi berat 80 gms dan hanya boleh dilipat dan dipotong menggunakan gunting tanpa menggunakan sebarang pelekat lain.

Pemegang rekod negeri Johor bagi pertandingan Time Aloft dimenangi adik Muhammad Afwan Hazim Husein dari SMK Taman Scientex, Pasir Gudang dengan catatan masa 10 minit 65 saat manakala bagi kategori Longest Distance pula diraih oleh adik Afiq Aiman Noor Azman dari SMK Pasir Gudang 2 dengan jarak 29.8 meter.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad hadir menyempurnakan majlis penutup pertandingan tersebut dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

“Pertandingan seumpama ini adalah sangat baik untuk pelajar UTHM mempraktikkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan selain pembelajaran di dewan kuliah.

“Pihak universiti amat berterima kasih kepada pihak sekolah yang menyertai pertandingan ini dan berharap para peserta dapat menerokai dunia penerbangan sekali gus mampu menarik minat mereka untuk menceburi bidang ini kelak,” kata beliau dalam ucapan.