Seminar Pemasaran Digital Kebabom ketengah teknik ‘reverse psychology” dalam perniagaan

BATU PAHAT,10 Oktober – Bagi berkongsi rahsia kejayaan dan  ilmu pengetahuan  berkaitan trend pemasaran digital terkini, seramai 150 peserta telah menyertai Seminar Pemasaran Digital Kebabom yang telah berlangsung di kampus...
Seminar Kebabom

BATU PAHAT,10 Oktober – Bagi berkongsi rahsia kejayaan dan  ilmu pengetahuan  berkaitan trend pemasaran digital terkini, seramai 150 peserta telah menyertai Seminar Pemasaran Digital Kebabom yang telah berlangsung di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 10 Oktober lalu.

Seminar keusahawanan yang dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan Teknologi (FPTP) dan Perniagaan dengan kerjasama Pusat Perniagaan dan Keusahawanan(CBER) ini melibatkan peserta terdiri daripada pelajar UTHM serta usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sekitar Batu Pahat dan Kluang.

Seminar ini diadakan bertujuan berkongsi ilmu berkaitan tren pemasaran digital terkini sehingga mampu menjana pendapatan berpuluh ribu ringgit dalam tempoh sebulan dengan hanya membuat ‘posting’ di media sosial dengan menggunakan teknik ‘reverse psychology.’

Penganjurannya juga bertujuan untuk memperkasakan jati diri peserta seminar yang mempunyai pelbagai kebolehan, pengetahuan dan kemahiran terutama dalam bidang keusahawanan, kemahiran komunikasi dan pengurusan perniagaan.

Selain itu seminar ini juga untuk membantu pelajar, usahawan dan komuniti setempat membina jaringan kerjasama dalam kalangan usahawan sedia ada. Elemen teknologi multimedia  ditransformasikan sebagai medium yang mampu membantu peserta dalam meningkatkan prestasi sesebuah perniagaan di samping sebagai usaha meningkatkan lagi bilangan graduan yang berani memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selepas menamatkan pengajian.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya sesi perkongsian kaedah “Memancing Jiwa Pelanggan” yang disampaikan oleh Pensyarah FPTP, Puan Anim Zalina Azizan, perkongsian tentang UNIFI dan Instaweb oleh wakil TM-NET, acara cabutan bertuah serta perkongsian istimewa daripada “Admin 4 Pages Viral.”

Seminar tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Kanan Perbadanan Usahawan Johor Bahru (PUJB), Encik Khirul Nizam Mat Said. Beliau turut berkongsi peranan PUJB dan peluang-peluang mendapatkan dana bantuan yang boleh membantu usahawan tempatan selain turut menawarkan peluang berkolaborasi perniagaan ke luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Hadir sama ke seminar tersebut Dekan FPTP, Profesor Madya Dr Mohd Lizam Mohd Diah, Timbalan Dekan HEPA, Dr Md Asrul Nasid Masrom, Ketua Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Profesor Madya Haris Md Noor dan Penyelaras Program, Puan Noreina Nasir@Kepal.

 

 

Categories
KeusahawananPengurusan Teknologi Perniagaan

RELATED ARTICLE