Khidmat Masyarakat_PPD 2Bagi memupuk minat serta memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai ilmu kejuruteraan, seramai 22 orang penuntut tahun dua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama para pensyarah yang diketuai Encik Muhammad Hanafi Asril Rajo Mantari telah menganjurkan Program Young Engineers at School pada 25 Oktober lalu.

Program yang melibatkan murid Sekolah Kebangsaan Kota Raja ini turut disertai oleh murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ai Hwa dan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Lanandron.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Amirul Heilmi Ishak penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar sekolah berkaitan ilmu dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.

“Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah pertandingan Steam Powered Boat yang mengaplikasikan ilmu asas termodinamik dalam pergerakan bot yang mana ia menuntut para peserta untuk mereka bentuk bot mereka sendiri secara berkumpulan dengan bantuan fasilitator,” katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Kota Raja, Tuan Haji Ahmad Ridzuan Ismail pula berkata program yang pertama kali diadakan ini menjadi titik permulaan kepada pihak sekolah dan UTHM untuk menjalin kerjasama dalam menganjurkan program atau aktiviti yang boleh menarik minat pelajar menerokai bidang sains dan teknologi.

“Pihak kami berharap dapat bekerjasama lagi dengan UTHM dalam menganjurkan program sebegini pada masa akan datang memandangkan program ini dapat mengisi masa lapang murid-murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sedang menunggu keputusan peperiksaan,” tambahnya lagi.

Penganjuran program komuniti sebegini juga dapat merancakkan lagi peranan Kampus UTHM cawangan Pagoh sebagai sebuah medan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Pengisian yang berfokuskan kepada aktiviti-aktiviti yang mengaplikasikan bidang sains dan teknologi ini secara tidak langsung mempromosikan program-program kejuruteraan khususnya di Kampus Pagoh.

“Kami sebagai fasilitator juga merasa bertuah kerana berpeluang menimba pengalaman menguruskan program berbentuk khidmat komuniti seperti ini sekali gus dapat mempelajari cara komunikasi yang berkesan bersama pihak luar bagi memantapkan lagi kemahiran insaniah dan keyakinan diri masing-masing dalam mendepani cabaran pada masa akan datang,” tambah Amirul.