Eksplorasi Banjaran Bukit BintangKEDAH – Sekumpulan pendaki daripada Kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Cawangan Pagoh yang terdiri daripada 35 pelajar serta tujuh pegawai berjaya menawan puncak Gunung Bintang ketika menyertai misi Eksplorasi Banjaran Bintang 2018 pada 12 hingga 16 September lalu bertempat di Banjaran Bintang Kulim, Kedah.

Cabaran mengibar bendera UTHM di puncak gunung yang merupakan batu sempadan antara dua negeri iaitu Perak dan Kedah ini menjadi misi utama peserta sempena sambutan Ulang Tahun ke-25 UTHM dan Hari Malaysia dengan membawa mesej “25 UTHM Megah di Puncak Kejayaan.” Misi ini menjadi inspirasi kepada peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar baharu dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai seorang penuntut institut pengajian tinggi.

Program ini juga diadakan bertujuan untuk memberi bimbingan dalam mempraktikkan setiap kemahiran yang dipelajari khususnya dalam bidang pendakian, berkayak dan aktiviti lasak sekali gus sebagai platform untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan yang memberi penekanan terhadap aspek fizikal, mental dan emosi yang tinggi.

Kejayaan mengibarkan bendera UTHM di puncak Banjaran Gunung Bintang yang mengambil masa 10 Jam perjalanan, sejauh 18 kilometer dengan ketinggian 1862 meter ini adalah satu  pengalaman yang berharga bagi setiap peserta yang menyertai misi tersebut.

Sebelum memulakan pendakian, para peserta turut menjalankan aktiviti yang mencabar seperti ekspedisi white water rafting sepanjang jeram Sungai Sedim, Selama bersama aktiviti lain seperti water confident, night walk, blind trail dan juga latihan  teknik mengendalikan rafting.

Penganjuran aktiviti seumpama ini diharap dapat membantu Bahagian Pengurusan Pelajar Kampus UTHM Cawangan Pagoh untuk menjayakan misi mencari bakat-bakat baru bagi melahirkan atlet-atlet universiti yang berdisplin serta mempunyai komitmen yang tinggi dan sanggup berkorban untuk memburu kejayaan demi menaikkan nama UTHM di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.