BATU PAHAT – Dalam usaha untuk memastikan graduan yang dilahirkan lebih kompeten dan penyelidikan yang dilakukan menepati kehendak industri, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah kehadapan dengan meningkatkan lagi jaringan kerjasama bersama pihak industri.

Bagi mencapai hasrat tersebut, satu sesi menandatangani surat hasrat (LoI) antara UTHM dengan Sena Traffic System (STS) telah diadakan pada 5 September lalu bertempat di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, kampus induk. UTHM diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly manakala STS pula diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sena, Dato’ Tan Boon Hock.

Antara intipati LoI ini ialah STS akan mengambil langkah strategik dengan membuka pusat penyelidikan di kampus induk UTHM bagi memastikan pelajar dan penyelidik universiti ini mendapat maklumat dan data dengan pantas selain sentiasa mendapat kerjasama yang berterusan dari pihak industri. Selari dengan hala tuju kementerian pendidikan supaya universiti berusaha mencari dana, melalui kerjasama ini UTHM juga berupaya menjana pendapatan sendiri melalui sewaan ruang.

Menurut Wahid, UTHM adalah universiti teknikal yang berupaya membantu merialisasikan hasrat STS menghasilkan produk untuk pasaran bandar pintar. Teknologi industri 4.0 (IR 4.0) yang diguna pakai dalam kerjasama ini amat bersesuaian dengan hala tuju negara dan pelajar UTHM juga akan turut mendapat pendedahan praktikal.

“Pihak UTHM amat kagum dengan sistem lampu trafik canggih yang dibangunkan oleh STS ini kerana ianya berupaya mengurangkan kesesakan jalan raya dan ini dapat mengurangkan pelepasan karbon yang menjadikan bandar-bandar di Malaysia lebih mesra alam.”

“Melalui kerjasama ini, saya lihat masyarakat setempat terutama sekolah berdekatan juga akan mendapat manfaat melalui aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) yang boleh dilakukan bersama oleh UTHM dan STS. Pendedahan aktiviti penyelidikan bandar pintar boleh menjadi pemangkin pelajar sekolah untuk mendalami bidang sains dan teknologi yang amat diperlukan oleh negara,” tambah beliau lagi.

Wahid juga menjelaskan UTHM kini mempunyai ramai penyelidik, oleh itu universiti ini sangat mengalu-alukan penyertaan dan pembabitan lebih banyak syarikat untuk membuka pusat penyelidikan dan operasi di kampus UTHM sama ada di Parit Raja mahupun di kampus Pagoh.

Sementara itu Dato’ Hock pula dalam ucapannya turut melahirkan rasa terima kasih kerana UTHM mahu bekerjasama dengan syarikat ini untuk membangunkan lebih banyak produk inovasi yang boleh diterima pakai dan dikomersialkan di pasaran global.

“Kolaborasi ini juga akan memberi faedah kepada STS yang mana penyelidik dan pelajar dapat terlibat sama dalam penyelidikan yang dilakukan. Dengan ini STS tidak akan kekurangan tenaga kerja mahir untuk menyiapkan projek yang diminta pelanggan. Kemahiran jurutera STS juga boleh terus dipertingkat sesuai dengan permintaan semasa melalui kursus pendek yang boleh diberikan oleh tenaga akademik UTHM,” katanya lagi.

Turut hadir menyaksikan LoI tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts Dr. Ruzairi Abdul Rahim,  Penasihat Teknikal Kumpulan Sena, Datuk Dr. Ir Leong Siew Mun dan Ketua Pegawai Eksekutif Sena Traffic System, William Tan.